Search This Blog

Saturday, April 12, 2014

Digilis treler balik masjid


Oleh Hadzlihady Hassan
Georgetown: Angkara tersalah langkah sehingga terjatuh ketika cuba menyeberang jalan, seorang warga emas yang baru balik dari masjid maut dalam keadaan mengerikan apabila digilis treler 30 tan yang membawa muatan bahan binaan dalam kejadian di Jalan Tun Dr Awang, Bukit Jambul, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 8.15 pagi itu, Syed Mohamed Shukor Syed Abdul Rashid, 64, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.


Difahamkan, mangsa yang juga pemandu limosin itu baru pulang dari Masjid Sungai Nibong Kecil di sini dan berjalan seorang diri ketika mahu melintas jalan.



Bagaimanapun ketika mahu melangkah pembahagi jalan, dia secara tiba-tiba hilang kawalan serta keseimbangan badan dan terjatuh di atas jalan sebelum digilis lori terbabit.


Pegawai Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Barat Daya Zunaidin Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 8.53 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian.


“Empat anggota bersama sebuah ambulans dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat ada mangsa tersepit di bawah lori.

“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati mangsa sudah meninggal dunia akibat kecederaan di beberapa anggota badan,” katanya.


Sementara itu, Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pulau Pinang Deputi Superintendan Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan terbabit.

“Siasatan mendapati mangsa cuba melintas jalan, namun dia terjatuh dan pemandu lori yang datang dari Bukit Jambul ke Bayan Lepas tidak sempat menekan brek.


“Akibatnya, mangsa digilis lori terbabit dan dia mati kerana kecederaan parah di seluruh badan dan polis sudah menghantar mayatnya ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat,” katanya.


Menurutnya, polis sudah mengambil keterangan daripada pemandu lori dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/12

No comments:

Post a Comment