Search This Blog

Monday, April 7, 2014

‘Datuk Seri’ tipu mangsa mampu jadikan ADUN


Seremban: Kegiatan seorang lelaki menggunakan gelaran palsu termasuk ‘Datuk Seri’ dan ‘Tan Sri’ untuk menipu orang ramai kononnya mampu menjadikan mangsa sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini, terbongkar selepas dia dicekup polis di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), di sini, minggu lalu.

Sumber polis berkata, suspek berusia 60-an itu terbabit banyak penipuan terhadap mangsa dengan memperkenalkan diri kononnya bertaraf Datuk Seri, Tan Sri, Profesor dan Doktor Kehormat serta mendakwa mampu menjadikan seseorang sebagai pemimpin tempatan.


Katanya, dalam kejadian Februari tahun lalu, suspek menipu seorang ahli politik berusia 50-an kononnya untuk menjadikan mangsa calon DUN Seri Menanti, Kuala Pilah mewakili parti bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Menurutnya, suspek mendakwa dirinya mempunyai kenalan di kalangan pemimpin tertinggi parti politik dan ada jalan pintas menjadi calon bertanding.


“Disebabkan itu, suspek meminta bayaran RM200,000 daripada mangsa yang kemudian mengeluarkan wang simpanan.


“Namun, apabila tiba waktu pilihan raya, suspek menghilangkan diri dan nama mangsa tidak tercalon,” katanya.

Katanya, tidak cukup itu, suspek turut menipu seorang penduduk di Kuala Pilah berusia 50-an yang mahu memindahkan anaknya seorang guru untuk bertugas di sebuah sekolah di Seremban.


“Pada Ogos tahun lalu, lelaki berkenaan meminta bayaran RM8,000 daripada mangsa dan terus menghilangkan diri,” katanya.

Sumber berkata, kedua-dua mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban 2, di sini.


Kata sumber, pihaknya yang memburu suspek sejak tahun lalu gagal apabila lelaki itu menghilangkan diri berikutan memiliki empat isteri dan banyak kediaman.


“Bagaimanapun, risikan dibuat minggu lalu mendapati suspek pergi ke HTJS untuk rawatan kesihatan. Sehubungan itu, anggota kami (polis) menahannya,” katanya.


Menurutnya, pemeriksaan dibuat ke atas rumah warga emas itu di Seremban 2, di sini turut menemui beberapa cop jawatan Pengarah Strategik Ekonomi Malaysia, Datuk Seri dan Tan Sri.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/07

No comments:

Post a Comment