Search This Blog

Saturday, April 12, 2014

Bot karam: 22 orang hilang di Papua


11 April 2014


JAKARTA - Dua puluh dua orang dilaporkan hilang selepas sebuah motobot yang membawa 30 penumpang karam di perairan sekitar pulau Yapen, kata pihak berkuasa Papua, hari ini.

Ketua Polis kepulauan Yapen, Gatot Prasetyo berkata bot itu sedang dalam perjalanan ke Membramo Raya dari Yapen pada Selasa.

"Semasa dalam perjalanan bot itu dipukul ombak yang besar lalu karam," kata Gatot yang dipetik sebagai berkata oleh akhbar harian Jakarta Globe.

Beliau berkata bot terbabit karam di antara Selat Pasorae dan Kurudu Kaipuri berdekatan Yapen.

Selepas dimaklumkan berhubung insiden itu oleh ahli majlis wilayah Membramo, polis Yapen, dengan dibantu pasukan mencari dan menyelamat dari Biak Numfor, melancarkan usaha menyelamat kesemua mangsa. Lapan orang diselamatkan dan dipindahkan ke Kurudu Kaipuri manakala yang lain masih hilang.

Gatot berkata usaha menyelamat masih dijalankan dan ditumpukan di kawasan perairan sekitar Kurudu dan Memberamo di Papua, sambil menambah usaha mencari terhalang oleh cuaca buruk dan ombak besar.

"Bagaimanapun, kami akan meneruskan usaha mencari dan menyelamat sehingga kesemua mangsa ditemui," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment