Search This Blog

Saturday, April 12, 2014

‘Bomoh’ perdaya 3 mangsa minta lembu hitam


Kuala Lumpur: Korbankan seekor lembu hitam. Itulah pengeras ataupun syarat karut yang dikenakan seorang bomoh auta bagi mengubati mana-mana individu yang disihir atau menghidapi gangguan misteri sebelum lesap bersama wang mangsa.

Lelaki berusia lewat 30-an itu dilapor akan meminta RM3,000 selepas beberapa siri rawatan dilakukan kononnya untuk membeli lembu hitam bagi memulihkan sepenuhnya pesakitnya sebelum menghilangkan diri. Harian Metro difahamkan, suspek yang bergerak aktif sejak enam bulan lalu di sekitar Lembah Klang sudah memperdaya sekurang-kurangnya tiga mangsa.


Dalam kejadian terbaru Selasa lalu, seorang lelaki yang mahu dikenali sebagai Rahman, 50, mendakwa, kerugian RM3,000 selepas diperdaya bomoh pembelit berkenaan sebelum membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah, Ampang untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Rahman berkata, dia diperkenalkan kepada lelaki terbabit oleh beberapa rakannya pada pertengahan Mac lalu.


“Saya jumpa bomoh itu bagi mengubati adik lelaki berusia 35 tahun yang mendakwa sering diganggu lembaga hitam. Bukan saya nak percaya bomoh tetapi tiada jalan lain kerana setiap kali pemeriksaan dilakukan di klinik mahupun hospital, doktor memberitahu adaik saya tidak menghidap sebarang penyakit. “Malah, sudah puluhan ribu duit dihabiskan untuk merawatnya sejak dua tahun lalu.


“Saya tidak sanggup melihat adik saya sentiasa murung dan ketakutan. Disebabkan itulah, saya mula mendapatkan khidmatnya (bomoh) selepas dinasihatkan rakan,” katanya.

Rahman berkata, dia bertemu dengan bomoh terbabit di sebuah kedai makan di Ampang.


“Pertama kali bertemu, saya menjadi yakin dengan lelaki terbabit kerana dia berperwatakan seperti orang alim. Malah, pertuturannya juga lembut dan sering memakai jubah sebelum bersetuju merawat adik saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Khairuldin Saad mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/12

No comments:

Post a Comment