Search This Blog

Saturday, April 12, 2014

Bom tersangkut pada jaring

Bom tersangkut pada jaring
Bom yang ditemui Tarmizi diletakkan di kawasan berhampiran yang kemudiannya ditanda dengan garisan kuning polis. 
WARTAWAN SINAR HARIAN
11 April 2014
SEKINCHAN - Dua pemancing yang leka menjala di sungai bersebelahan Tali Air 5, Ban Kanal terkejut menemui sebutir bom tersangkut pada jaring mereka, tengah hari semalam.

Tarmizi Imran, 50, dari Tali Air 4 Sekinchan berkata, penemuan bom kira-kira jam 11.30 pagi itu menggemparkannya kerana tidak pernah melihat bom sebelum ini.

Menurutnya, dia dan rakannya, Sarman Saleh, 32, tiba di sungai itu kira-kira jam 10 pagi dan kemudian terus memasang jala untuk menangkap ikan di tebing sungai terbabit.

“Bila kami tarik jala itu, memang berat, tak macam biasa. Mula-mula kami ingatkan ikan, rupa-rupanya bom yang tersangkut,” katanya kepada Sinar Harian.

Tarmizi berkata, bom itu kemudiannya dikeluarkan dari jaring dan diletakkan di atas tanah berhampiran sebelum menghubungi Balai Polis Sekinchan untuk membuat laporan berhubung penemuan itu kira-kira jam 12 tengah hari.

Katanya, bom itu mungkin digunakan semasa Perang Dunia Kedua memandangkan kawasan Sekinchan sebelum ini pernah menjadi kubu tentera Jepun.

“Tak kurang 200 meter dari tempat saya jumpa bom ini ada tinggalan bangunan lama tentera Jepun dan tak mustahil bom ini digunakan mereka masa perang dulu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad ketika dihubungi mengesahkan penemuan bom terbabit.

Beliau berkata, Unit Bom Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor tiba ke tempat kejadian jam 3 petang semalam dan mengesahkan bom terbabit tidak lagi aktif.

“Bom itu kemudiannya dibawa ke IPD Kuala Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya.

No comments:

Post a Comment