Search This Blog

Monday, April 21, 2014

Bertempiaran lari kedai meletup


Georgetown: “Saya dengar satu letupan kuat ketika mahu mengambil barang di luar kedai,” kata seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 45, yang melihat enam premis terbakar di Lebuh Gat Maccalum, Jalan CY Choy di sini, semalam.

Menurutnya, dia ketika itu keluar dari kedainya untuk mengambil barang sebelum mendengar bunyi seakan letupan yang datang dari kedai bertentangan.

“Ketika itu saya nampak api dan kepulan asap tebal dari bumbung premis terbabit sebelum saya menjerit memberitahu penghuninya supaya keluar.

“Mereka kemudian bertempiaran keluar dari premis masing-masing dan mujur semua sempat melarikan diri,” katanya.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, enam premis membabitkan kedai salun kecantikan, kedai alat tulis, bengkel motosikal, pejabat agensi pekerjaan, dan dua rumah kosong musnah dalam kebakaran itu.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada litar pintas di sebuah premis sebelum ia merebak ke premis lain dengan pantas disebabkan angin kuat.



Jurucakap bomba dan penyelamat berkata, kebakaran dapat dikawal sepenuhnya kira-kira jam 2.30 petang dan tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku.

“Setakat ini kita masih menyiasat punca dan jumlah kerugian akibat kebakaran itu dan siasatan awal mendapati ia kemungkinan berlaku kerana litar pintas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/21

No comments:

Post a Comment