Search This Blog

Sunday, April 13, 2014

Bertembung di selekoh





Oleh YUSMAWATI MHF YUSOF

Jasin: Seorang lelaki meninggal dunia akibat parah di kepala apabila kereta PROTON Wira dipandu hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah bas di Kilometer 26, Jalan Jasin-Merlimau, Merlimau, di sini, kelmarin.



Kejadian jam 10.30 malam mengakibatkan Mohd Syafiq Abdul Latif, 24, meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu bas berusia 47 tahun dan 20 penumpang selamat.



Menurut sumber, ketika kejadian, mangsa memandu PROTON Wira dipercayai dalam perjalanan ke bandar Melaka dari Merlimau ke Jasin, manakala bas dinaiki 20 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dari arah bertentangan.



“Difahamkan, bas itu disewa IPT berkenaan untuk membawa pelajarnya mengikuti satu rombongan.



Tiba di tempat kejadian, kenderaan terbabit bertembung dengan PROTON Wira dipandu mangsa.



“Kemalangan itu mengakibatkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu.



Mayatnya dikeluarkan dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Merlimau,” katanya, semalam.



Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka Mohd Hafidzatullah Rashid pula berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kemalangan jam 10.38 malam dan tiba di tempat kejadian tujuh minit kemudian.



“Dua jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Merlimau dikejarkan ke lokasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II Yahya Ahmad bersama enam anggota.



“Kami mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa,” katanya.



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Mohd Nur Hishamudin Hashim berkata, kemalangan berlaku di laluan berselekoh.



“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



“Saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment