Search This Blog

Saturday, April 12, 2014

Bersekongkol pecah kilang

WARTAWAN SINAR HARIAN
Bersekongkol pecah kilang
Azman (dua, kanan) memeriksa barang yang dirampas daripada 14 warga Vietnam yang memecah masuk kilang di sekitar daerah ini. 
11 April 2014
MUAR – Seorang lelaki tempatan dan 14 warga Vietnam termasuk dua wanita berjaya ditahan dalam serbuan berasingan disyaki terbabit dalam beberapa kejadian  pecah kilang di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, lelaki tempatan itu bertindak sebagai dalang utama dengan menjadi pemandu kereta sapu untuk menghantar kesemua warga asing itu ke kilang yang menjadi sasaran rompakan.

Menurutnya, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan kira-kira jam 7.30 pagi, 7 April lalu di sebuah rumah di Bukit Pasir.

“Ekoran itu, kita berjaya menahan 14 warga Vietnam terbabit di asrama pekerja dan kilang tempat mereka bekerja, kira-kira jam 9 pagi pada keesokan harinya di Kawasan Perindustrian Bakri.

“Tangkapan ke atas mereka susulan daripada laporan yang dibuat salah seorang pekerja sebuah kilang perabot di Bakri yang telah dipecah masuk membabitkan kerugian berjumlah RM56,000” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini, semalam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di asrama warga asing itu telah menemui empat komputer riba, 27 pasport warganegara Vietnam dan wang tunai RM10,000.

“Kita percaya kesemua barang-barang itu hasil rompakan suspek di tiga kilang yang mereka lakukan sebelum ini.

“Lelaki Vietnam  berusia di antara 19 hingga 35 tahun, manakala dua wanita pula berusia 35 dan 41 tahun tahan oleh anggota  pasukan khas IPD Muar menerusi Ops Cantas,” katanya.

Azman berkata, hasil siasatan mendapati kumpulan itu  baru ditubuhkan dan  aktif melakukan jenayah  kira-kira tiga bulan lalu.

“Suspek warga Vietnam itu mempunyai dokumen yang sah dan dipercayai sudah berada di daerah ini setahun lalu.

“Kesemua suspek  bebas dadah tetapi lelaki tempatan itu mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 324 kanun keseksaan sejak tahun 2011,” katanya.

Jelasnya, mereka ditahan reman hingga 21 April ini untuk siasatan lanjut bagi mengetahui kemungkinan ada saki baki kumpulan masih bebas.

Azman memberitahu suspek disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 kanun keseksaan.

No comments:

Post a Comment