Search This Blog

Saturday, April 12, 2014

Bergelut dengan polis elak ditahan

WARTAWAN SINAR HARIAN
Bergelut dengan polis elak ditahan
Mohd Kamal memeriksa kabel dipotong suspek dan diletakkan di tempat duduk belakang. 
11 April 2014
PASIR PUTEH - Dua lelaki yang dikesan mencuri kabel di Pencawang Maxis di Bukit Jawa, Selising, di sini, semalam, bertindak nekad bergelut dengan anggota polis bagi mengelak ditahan.

Bagaimanapun, mereka akhirnya berjaya ditangkap dua anggota polis termasuk Koperal/Detektif Zulkifli Hanif Mohamed daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh yang membuat rondaan di kawasan berkenaan.

Selepas menerima maklumat orang awam mengenai kegiatan mencurigakan dua lelaki, kira-kira jam 2.30 petang, anggota polis bergegas ke pencawang tersebut.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, ketika anggota polis tiba di lokasi, terdapat dua lelaki sedang memunggah kabel siap dipotong ke dalam kereta jenis Volvo.

Katanya, kedua-dua suspek berusia 29 dan 40 tahun terkejut  kehadiran anggota polis menghampiri kereta mereka dengan salah seorang mengeluarkan parang seolah-olah mahu menyerang polis.

“Mereka masuk ke dalam kereta, pemandu menghidupkan enjin dan bertindak seperti mahu melanggar anggota polis, bagaimanapun kenderaan suspek dihalang kenderaan anggota polis terbabit.

“Ketika anggota polis menuju ke kereta suspek, mereka enggan bekerjasama yang memaksa anggota polis memecahkan cermin hadapan dan kanan kereta.

“Suspek mengundurkan kereta dan ke depan semula sehingga nyaris melanggar anggota polis yang menyebabkan anggota polis bertindak melepaskan tembakan ke tayar,  menyebabkan kereta suspek terhenti,” katanya pada sidang media di Dewan Impiana, IPD Pasir Puteh, di sini, semalam.

Mohd Kamal berkata, selepas itu berlaku pergelutan apabila suspek cuba mengelak ditahan sehingga menyebabkan anggota polis (Zulkifli) mengalami kecederaan jari tangan kanan sebelum kedua-duanya yang berasal dari Labok, Machang dan Marang, Terengganu berjaya ditahan.

Menurutnya, polis menemui kabel kecil dan besar siap dipotong dalam kereta suspek, selain menjumpai senjata tajam, peralatan yang digunakan untuk kegiatan curi kabel dan satu pil kuda.

“Mereka yang membawa bersama topi keselamatan untuk menyamar sebagai pekerja pencawang didapati positif dadah jenis methaphetamine dan salah seorang daripada mereka iaitu pemandu didapati mempunyai rekod jenayah lampau.
"Kita percaya dengan penangkapan ini, kita berjaya menyelesaikan beberapa lagi kes curi kabel di kawasan ini dan kawasan sekitar," katanya.

Katanya, suspek ditahan reman mulai semalam untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 dan Seksyen 7 Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berkata, kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak polis amat dihargai kerana kecurian itu menyebabkan syarikat telekomunikasi terbabit kerugian mencecah RM40,000.

No comments:

Post a Comment