Search This Blog

Saturday, April 12, 2014

Bekas tentera didenda cedera isteri, anak perempuan


SHAH ALAM 11 April - Seorang bekas anggota tentera terpaksa membayar denda RM300 atau dipenjara 10 hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mencederakan isteri dan anak perempuannya tahun lalu.
Majistret Ellyana Razali menjatuhkan hukuman itu setelah N. Nagarajan, 46, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di kediaman mereka di No. 4, Jalan Spektrum U16/25, Taman Bukit Subang dekat sini pada 6.05 petang, 17 Disember 2013.
Nagarajan yang memakai kemeja jingga mengaku menyebabkan kesakitan di bahagian muka dan leher tanpa menyedari mungkin menyebabkan kecederaan kepada isterinya A. Mahaledchummy, 45, dan anaknya, N.Priyanga, 16.
Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga sebulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela merayu agar tidak dijatuhi hukuman penjara kerana dia tidak berniat sama sekali untuk menyakiti ahli keluarganya itu.
“Saya bergaduh dengan isteri kerana bimbang keselamatan anak perempuan saya yang mula berkawan dengan lelaki dari luar, saya meminta isteri menghantar sendiri anak ke sekolah dan tidak menggunakan khidmat van sekolah namun isteri tidak endahkan nasihat saya.
“Saya seorang bekas anggota tentera, kini tinggal berasingan daripada mereka kerana masalah dengan isteri namun saya masih menanggung anak saya dan berharap perkara sebegini tidak berulang lagi," katanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rustam Sanip. Nagarajan membayar denda tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140412/ma_02/Bekas-tentera-didenda-cedera-isteri-anak-perempuan#ixzz2ycLJ3p5L
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment