Search This Blog

Saturday, April 5, 2014

Bekas Presiden Ukraine didakwa bunuh penunjuk perasaan


KIEV 4 April - Perdana Menteri Ukraine, Arseny Yatseniuk mendakwa bekas Presiden Ukraine yang digulingkan, Viktor Yanukovich bertanggungjawab di atas kematian berpuluh-puluh penunjuk perasaan antikerajaan yang ditembak mati oleh polis penembak tepat pada Februari lalu dan menggesa Rusia menyerahkan Yanukovich supaya bekas Presiden itu didakwa di negara ini.
Yatseniuk membuat kenyataan itu selepas perkhidmatan keselamatan Ukraine (SBU) mendapati kematian lebih 100 penunjuk perasaan itu akibat ditembak oleh polis anti-rusuhan Berkut, namun menegaskan Yanukovich terbabit dalam rancangan operasi tersebut.
“Bagaimanapun sebagai seorang ahli politik, saya boleh menyatakan bahawa bekas presiden itu secara individu bertanggungjawab, dan kami mahu membawanya untuk diadili. Kami tidak dapat menerima Rusia melindungi seorang lelaki yang di bawah siasatan atas dakwaan membunuh beramai-ramai dan jenayah kemanusiaan," katanya.
SBU mendakwa wakil pasukan keselamatan FSB Rusia turut berada di ibu pejabat SBU di Kiev di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu semasa bantahan yang berlarutan selama tiga bulan itu dengan Rusia turut membawa masuk bahan letupan ke Ukraine.
Dalam perkembangan berasingan, agensi keselamatan utama Rusia, Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB) menahan 25 rakyat Ukraine kerana dipercayai merancang melakukan sabotaj di Rusia.
Menerusi kenyataannya, FSB berkata, kesemua suspek merancang melakukan sabotaj dan serangan keganasan di tujuh daerah Rusia pada bulan lalu.
Bagaimanapun, FSB tidak menyatakan bilakah tangkapan itu dibuat.
Sementara itu, Crimea semalam menolak permintaan suku kaum Tatar untuk mewujudkan wilayah autonomi untuk etnik minoriti itu dengan menyifatkan tindakan berkenaan bertentangan dengan pengambilalihan semenanjung Laut Hitam tersebut oleh Rusia.
Rusia dalam pada itu memfailkan bantahan kepada Duta Jerman di negara itu selepas seorang menteri Jerman dilaporkan menyamakan tindakan Rusia mengambilalih Crimea sama seperti tindakan Hitler mengambil alih Czechoslovakia pada 1938.- REUTERS/AFP/AP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140405/lu_04/Bekas-Presiden-Ukraine-didakwa-bunuh-penunjuk-perasaan#ixzz2xxRxjUxg
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment