Search This Blog

Saturday, April 12, 2014

Bekas Pegawai Perikanan didakwa terima rasuah


ABDUL Hamid Ismail (kanan) dan Mohd. Rosman Ramli didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan rasuah di Butterworth, Pulau Pinang, semalam.
BUTTERWORTH 11 April - Seorang bekas pegawai Jabatan Perikanan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan menerima rasuah bernilai RM246,024.20 daripada seorang pembekal benih ikan, empat tahun lalu.
Abdul Hamid Ismail, 50, yang ketika itu bertugas sebagai Ketua Perikanan Daerah Hulu Perak Selatan mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang didakwa dilakukan di Maybank Seberang Jaya, di sini pada 8 Februari 2010.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima sekeping cek CIMB bernilai RM220,000 daripada syarikat Justru Cemerlang Enterprise milik Mohd. Rosman Ramli yang merupakan pembekal benih dan pembeli ikan, ke dalam akaun bank HA Agrotech milik Abdul Hamid.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa menerima sekeping cek CIMB bernilai RM26,024.20 daripada Mohd. Rosman ke dalam akaun HA Agrotech.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun, denda atau kedua-duanya.
Di mahkamah sama, Mohd. Rosman, 48, turut didakwa atas dua pertuduhan memberi rasuah kepada Abdul Hamid melalui dua keping cek masing-masing bernilai RM220,000 dan RM26,024.20 pada tarikh dan tempat yang sama.
Dia turut membuat pengakuan tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 28(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman yang sama.
Hakim Roslan Hamid memerintahkan setiap tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan sementara menunggu sebutan kes pada 8 Mei ini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140412/ma_04/Bekas-Pegawai-Perikanan-didakwa-terima-rasuah#ixzz2ycLspbV4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment