Search This Blog

Sunday, April 13, 2014

Bayi Pakistan dibebaskan daripada pertuduhan membunuh polis


Musa Khan, sembilan bulan meminum susu botol sambil didukung datuknya, Muhammad Yasin ketika mereka meninggalkan mahkamah selepas hakim menggugurkan dakwaan membunuh terhadapnya di sebuah mahkamah di Lahore, semalam. - REUTERS
LAHORE 12 April - Sebuah mahkamah Pakistan hari ini menggugurkan dakwaan cubaan membunuh ke atas seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan dalam satu kes yang menarik perhatian dunia tentang sistem kehakiman negara ini.
Bayi itu, Musa Khan, hadir di mahkamah di sini bersama datuknya sambil meminum sebotol susu.
“Polis memaklumkan kepada mahkamah bahawa dakwaan terhadap Musa dalam kes menyerang polis dan pegawai syarikat gas adalah satu kesilapan," kata peguam bela, Irfan Sadiq.
Awal bulan lalu, bayi itu bersama lebih 30 defendan lain termasuk 12 ahli keluarganya dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan cuba membunuh seorang pegawai polis dalam satu pergaduhan di kawasan perumahan di timur bandar ini.
Kejadian itu berlaku apabila sekumpulan anggota polis dan pegawai syarikat gas bertengkar dengan kesemua defendan berhubung pembayaran bil gas yang masih tertunggak.
Datuk bayi itu, Muhammad Yasin sebelum ini pernah berkata, Musa terlalu kecil untuk didakwa.
“Dia masih tidak dapat memegang botol susu dengan betul, bagaimana dia boleh melontar sebutir batu? katanya kepada sekumpulan wartawan.
Pegawai polis, Inspektor Kashif Muhammad yang berada di lokasi ketika kejadian itu berlaku dan memfailkan pertuduhan ke atas bayi tersebut juga telah digantung tugas.
Keputusan mahkamah itu dibuat selepas pertuduhan tersebut dilihat sama sekali bercanggah dengan had umur minimum bagi sabitan jenayah iaitu dari umur tujuh dan 12 tahun melainkan bagi kes keganasan.
Bagaimanapun, semua defendan lain termasuk ahli keluarga Musa masih berdepan pertuduhan sama.
Kes bayi itu menarik perhatian apabila Musa dirakam menangis di mahkamah awal bulan ini ketika cap jarinya diambil. - AFP/REUTERS

No comments:

Post a Comment