Search This Blog

Saturday, April 5, 2014

Balu, anak Allahyarham Ahmad Sarbaini tuntut ganti rugi RM8j


Masiah @ Maziah Manap menunjukkan writ saman terhadap kerajaan Malaysia atas kematian suaminya dalam sidang akhbar di lobi Kompleks Mahkamah Persekutuan, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 4 April - Balu dan anak sulung kepada Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbaini Mohamed hari ini memfailkan saman menuntut ganti rugi berjumlah RM8 juta terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan lapan yang lain berhubung kematian suaminya, April 2011.
Masiah @ Maziah Manap, 53, dan Shahril, 30, memfailkan saman tersebut melalui firma guaman, Tetuan Sasha Lyna di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini.
Mereka menamakan bekas Pengarah SPRM cawangan Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Yussuf Akope dan lima pegawainya, Mohamad Fauzi Hussin; Sheikh Niza Khairy Sheikh Mohamed; L. Baskar; Mohd. Rosly Mohd. Saupi dan Kamal Awang Besar selaku defendan pertama hingga keenam.
Turut dinamakan sebagai defendan ialah Ketua Pesuruhjaya SPRM Malaysia, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan ketujuh dan kesembilan.
Dalam saman itu, plaintif mendakwa kematian Ahmad Sarbaini ekoran daripada sesi soal siasat dan serangan mental yang dikatakan dilakukan oleh kesemua defendan.
Oleh itu, kedua-dua plaintif menuntut ganti rugi untuk tanggungan dan faedah harta.
Mereka turut memohon ganti rugi akibat salah laku oleh penjawat awam (misfeasance), ganti rugi keterlaluan, ganti rugi teladan dan pencabulan hak asasi yang berjumlah RM8 juta selain menuntut ganti rugi am dan khas.
Masiah dan Shahril juga memohon perisytiharan bahawa kesemua defendan dengan sengaja telah melanggar kebebasan asasi Ahmad Sarbaini dan bertentangan dengan Bahagian II Perlembagaan Persekutuan.
Pada 26 September 2011, Mahkamah Koroner di sini memutuskan bahawa tiada unsur jenayah atau penglibatan pihak ketiga dalam kematian Ahmad Sarbaini.
Koroner Aizatul Akmal Maharani dalam keputusannya berpendapat, Ahmad Sarbaini jatuh secara tidak sengaja dari Aras 3 bangunan SPRM Wilayah Persekutuan dan meninggal dunia di tempat sama disebabkan nahas tersebut.
Ahmad Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di Aras 1 bangunan SPRM tersebut yang terletak di Jalan Cochrane di sini pada 6 April 2011.
Allahyarham pergi ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai kastam.
Perbicaraan inkues mengambil masa 13 hari itu bermula pada 4 Julai 2011 dan ditutup pada 4 Ogos tahun sama.
Sepanjang perbicaraan, mahkamah merekodkan keterangan daripada 34 saksi termasuk beberapa pegawai SPRM Wilayah Persekutuan, dua pakar patologi, beberapa pegawai forensik, pegawai Kastam, dan Masiah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140405/ma_01/Balu-anak-Allahyarham-Ahmad-Sarbaini-tuntut-ganti-rugi-RM8j#ixzz2xxhIJ98H
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment