Search This Blog

Saturday, April 12, 2014

Balasan anak derhaka


WARTAWAN SINAR HARIAN
10 April 2014


KUANTAN - Dua lelaki masing-masing dihukum penjara empat dan enam bulan sebagai balasan atas sikap biadab mereka terhadap ibu bapa sendiri.

Tertuduh, Muhammad Hasbillah Hanifah Shuhaimi, 24, dari Taman Sri Inderapura, Jalan Kuantan-Pekan dihukum penjara empat bulan kerana mengugut ibu dan bapanya menggunakan sebilah pisau.

Manakala  Mohd Zakie Shamsudin, 29 dari Kampung Teluk Mahang, Batu 5, Jalan Gambang dipenjara enam bulan selepas mengaku bersalah menakutkan ibunya bagi tujuan pemerasan.

Tuduhan ke atas kedua-dua tertuduh itu dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Noor Zaihan Mohamed Ali manakala pendakwaan dikemukakan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Abdul Halim Hamat.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Hasbillah Hanifah dituduh melakukan ugutan jenayah terhadap ibu dan bapanya menggunakan sebilah pisau dalam satu kejadian di rumah keluarga itu di Taman Sri Inderapura, Jalan Kuantan-Pekan kira-kira 8 malam, 4 April lalu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah atas tuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Manakala Mohd Zakie dituduh cuba menakutkan ibunya bagi tujuan pemerasan juga di kediaman mereka di Kampung Teluk Mahang dekat sini kira-kira jam 5 petang, 2 April lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang juga membawa hukuman penjara  sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment