Search This Blog

Thursday, May 8, 2014

Pembeli kedai dakwa tertipu



Wilson Lau Hoi Keong (tengah) bersama-sama sebahagian pembeli yang mendakwa ditipu pemaju selepas lot kedai yang dibeli bertukar status menjadi pangsapuri mengangkat kain rentang sebagai membantah tindakan pemaju berkenaan di Kuala Lumpur, semalam
KUALA LUMPUR 7 Mei - Tiga ahli perniagaan mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM65,000 setiap seorang apabila wang yang dilaburkan untuk pembinaan sebuah lot kedai di Taman Melati di sini telah bertukar status sebagai projek pangsapuri 16 tingkat.
Pengerusi Biro Aduan Parti Gerakan, Wilson Lau Hoi Keong berkata, jumlah yang dibayar pembeli berkenaan hanyalah merupakan 10 peratus daripada jumlah keseluruhan sebagai deposit untuk sebuah lot kedai di tapak itu pada tahun 2005.
Bagaimanapun, katanya, selepas lapan tahun menunggu, mereka terkejut apabila mendapati kedai tersebut tidak dibina sekali gus mereka kehilangan hak terhadap projek berkenaan.
"Status tapak projek itu agak meragukan kerana semasa lot kedai dibeli mangsa, tanah itu dibangunkan sebagai kawasan komersial. Malangnya, kini ia menjadi projek pangsapuri perkhidmatan dan mereka tidak menerima sebarang notis atau makluman mengenai perkara itu.
"Walaupun setakat ini yang mengadu kepada kami hanya tiga orang, mungkin ada lagi yang menjadi mangsa tetapi tidak sedar akan perkara tersebut dan tidak tahu untuk mengadu kepada siapa," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalannya, Ben Liew Pok Boon akan menulis surat rasmi kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi mendapatkan jawapan berhubung pertukaran status pembangunan tanah tersebut.
"Bagaimana pemaju terbabit boleh menukar status projek sesuka hati dan siapa yang memberi mereka permit bagi menjalankan pembangunan lain tanpa memaklumkan kepada pembeli sedia ada?
"Saya harap pihak berwajib dapat menyelesaikan isu ini dan memberi penjelasan kukuh kerana ia melibatkan jumlah kerugian yang bukan sedikit," katanya.
Dalam pada itu, seorang peniaga bahan logam, Low Aik Seong, 42, berkata, pertukaran status projek pembangunan itu hanya disedari­nya pada tahun lalu ketika meninjau kawasan tersebut.
"Memang tiada sebarang makluman atau notis daripada pihak terlibat mengenai perkara ini.
"Ini benar-benar meragukan dan berharap pihak pemaju bertanggungjawab,’’ katanya.
Seorang lagi mangsa yang merupakan peniaga tayar kereta, Siow Kin Min, 49, turut melahirkan rasa kesal atas apa yang berlaku.
Katanya, masalah itu sekali gus membantutkan hasratnya untuk membuka kedai baharu di situ.
"Saya mahukan pulangan modal yang telah dikeluarkan sebelum ini.Sudah lapan tahun saya bersabar, namun tiada sebarang hasil sehingga kini," katanya.
Sementara itu, Hoi Keong menasihati sesiapa yang terlibat dengan pembelian lot kedai tersebut pada tahun 2005 supaya menghubungi Biro Aduan dan Perkhidmatan partinya di talian 03-9287 6868.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20140508/wk_02/Pembeli-kedai-dakwa-tertipu#ixzz31JCzJcO2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment