Search This Blog

Wednesday, April 23, 2014

Angka kematian akibat MERS-CoV meningkat 81 orang di Arab Saudi



AFP
GAMBAR fail menunjukkan Hospital Raja Fahd di Jeddah pada 9 April lalu.


RIYADH - Angka kematian akibat Sindrom Pernafasan Koronavirus Timur Tengah (MERS-CoV) di Arab Saudi kini meningkat kepada 81 orang.
Kementerian Kesihatan Arab Saudi dalam satu kenyataan kelmarin memberitahu, seorang penduduk tempatan berusia 73 tahun yang menghidap penyakit kronik meninggal dunia di sini manakala rakan senegaranya yang berumur 54 tahun pula mati di bandar pelabuhan Jeddah akibat MERS-CoV.
Kementerian berkenaan menyatakan, pihaknya telah merekodkan sebanyak 261 jangkitan MERS-CoV di seluruh Arab Saudi sejak penyakit itu mula dikesan pada September 2012.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyatakan pada 17 April lalu bahawa pihaknya diberitahu terdapat 243 kes MERS-CoV yang telah disahkan di seluruh dunia termasuk 93 kematian.
Dalam pada itu, pemerintah Arab Saudi bertindak memecat Menteri Kesihatan, Abdullah Al-Rabiah kelmarin tanpa memberikan sebarang penjelasan.
Pemecatan itu dibuat selepas Abdullah melawat beberapa buah hospital di Jeddah untuk mententeramkan orang ramai yang bimbang berhubung penularan virus MERS-CoV dalam kalangan kakitangan perubatan sehingga menyebabkan bilik kecemasan sebuah hospital terpaksa ditutup.
MERS-CoV yang pada mulanya tertumpu di timur Arab Saudi kini merebak ke kawasan-kawasan lain di negara itu.
Virus itu dianggap lebih berisiko membawa maut berbanding virus Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang melanda Asia pada tahun 2003 dan menjangkiti seramai 8,273 orang.
Sebanyak sembilan peratus pesakit SARS meninggal dunia akibat wabak tersebut.
Sehingga kini, pakar-pakar masih keliru untuk memahami dengan mendalam tentang virus MERS-CoV manakala tiada vaksin untuk mengubati penyakit itu.
Satu kajian baru-baru ini mendapati, virus MERS-CoV ditemui pada unta sejak 20 tahun lalu dan mungkin telah menjangkiti manusia daripada haiwan tersebut. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0423&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2zitbN8IN 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment