Search This Blog

Thursday, April 24, 2014

Air kencing: Pemandu cari helah


KUALA LUMPUR 23 April - Pemandu bas ekspres berpendapat ujian saringan air kencing secara rambang lebih berkesan berbanding yang dijalankan setiap hari oleh pihak berkuasa.
Pemandu bas ekspres, Husin Ismail, 52, berkata, pemandu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah akan sentiasa mencari helah untuk melepaskan diri memandangkan mereka sudah mengetahui masa operasi dilakukan setiap hari di terminal sebelum memulakan perjalanan.
“Apabila ada operasi seperti ini, pemandu-pemandu yang mengambil dadah mungkin akan menukar jadual waktu kerja mereka dengan pemandu lain bagi tempoh seminggu atau dua minggu bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa," katanya ketika ditemui pemberita di Hentian Putra di sini hari ini.
Semalam, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi mengumumkan semua pemandu bas ekspres wajib menjalani ujian saringan air kencing yang dilakukan oleh pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) setiap hari di terminal-terminal bas di seluruh negara berkuat kuasa serta-merta.
Abdul Aziz berkata, ujian tersebut bertujuan memastikan para pemandu bas berada dalam keadaan sihat dan bebas daripada dadah sebelum membawa penumpang.
Dalam pada itu, Husin yang telah memandu bas sejak 15 tahun lalu berkata, bagi mendapatkan hasil, pihak berkuasa perlu melakukan operasi secara berterusan bagi tempoh yang lama dan bukan bermusim.
“Saya sebenarnya sudah menjangkakan operasi seperti ini akan dilakukan apabila banyak kemalangan maut melibatkan bas ekspres. Sebelum ini ujian seperti ini banyak kali dilakukan, khususnya apabila tiba musim perayaan," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140424/je_03/Air-kencing-Pemandu-cari-helah#ixzz2zkeWDQzq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment