Search This Blog

Wednesday, April 23, 2014

7 pemegang kad UNHCR didakwa edar, miliki dadah


KUALA LUMPUR 22 April - Seorang wanita pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) berdepan dengan hukuman gantung sampai mati setelah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis heroin dengan anggaran berat 56.08 gram, dua minggu lalu.
Hamidah Sadam, 32, warga Myanmar didakwa memiliki dua paket lutsinar berisi dadah tersebut di No. 18, Jalan Teratai 1/9C, Taman Bukit Teratai, Ampang dekat sini, kira-kira pukul 8.30 malam, 8 April lalu.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Tertuduh hanya mengangguk kepala selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Majistret Zulyana Zollkapli. Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada wanita tersebut.
Sementara itu, bagi satu lagi pertuduhan iaitu bersama-sama memiliki lima paket plastik lutsinar mengandungi 10.91 gram dadah jenis sama, Hamidah mengaku bersalah.
Bagaimanapun enam lagi rakan senegaranya, Mohd. Yasin Rahmat Ali, 29, Zubaidah Mohd. Shafie, 28, Mohd. Yusuf Abdu Sukur, 43, Mohd. Sharif Abdur Rahman, 24, Hanif Abdul Rahman, 22, dan Mohd. Salim Mohamed Ishak, 21, masing-masing mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan itu.
Bagi pertuduhan tersebut, kesemua mereka yang juga pemegang kad UNHCR didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama, serta dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang dari lima tahun dan sebatan tidak kurang daripada 10 kali.
Kesemua tujuh tertuduh terbabit juga mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan memiliki satu paket plastik mengandungi 0.8 gram dadah jenis methamphe­tamine.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Kedua-dua pertuduhan tersebut didakwa dilakukan pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Mahkamah menetapkan sebutan kes bagi kesemua pertuduhan itu pada 23 Jun ini sementara menunggu laporan kimia. Tiada jaminan ditawarkan kepada kesemua tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurdinie Baharum manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam bela.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140423/ma_03/7-pemegang-kad-UNHCR-didakwa-edar-miliki-dadah#ixzz2ziz7mSLT
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment