Search This Blog

Monday, April 21, 2014

42 terbunuh


Sekurang-kurangnya 42 orang terbunuh manakala 17 lagi cedera dalam kemalangan yang membabitkan sebuah bas di selatan Pakistan semalam.

Menurut polis, bas yang dalam perjalanan ke Karachi itu merempuh sebuah treler yang membawa traktor.

Antara yang terbunuh ialah 14 kanak-kanak dan 13 wanita.

Kemalangan berlaku di bandar Sukkur, 425 kilometer ke utara Karachi di wilayah Sindh, selatan Pakistan.

Pegawai kanan polis Sukkur, Fida Hussain Shah yang mengesahkan jumlah mangsa berkata pemandu bas itu mati di tempat kejadian manakala pemandu treler cedera.

Punca kemalangan masih belum dikenal pasti.

Kesemua mangsa yang terbabit adalah penumpang bas kecuali pemandu treler itu dan kebanyakannya berada dalam keadaan kritikal.

Ramai yang dipindahkan ke hospital Karachi selepas rawatan awal di Sukkur.

Antara mereka yang terbunuh termasuk enam daripada 10 ahli sebuah keluarga yang menaiki bas itu.

Dua daripadanya cedera dan dua lagi tidak mengalami sebarang kecederaan iaitu Maryam Bibi, 18 dan adiknya Samad, 6 .

Keluarga itu dalam perjalanan untuk melawat keluarga sanak saudara mereka di Karachi, kata Maryam.

Pakistan mempunyai rekod kemalangan maut terburuk di dunia kerana keadaan jalan raya yang teruk, kenderaan yang tidak diselenggara dan gaya pemanduan berbahaya.

Dalam kejadian awal bulan ini, 16 orang mati manakala 49 lagi cedera apabila sebuah lori yang membawa lebih muatan menjunam ke dalam gaung di Punjab, tengah Pakistan.

Sementara itu, kemalangan membabitkan dua buah bas dan sebuah lori tangki membunuh 35 orang Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/21

No comments:

Post a Comment