Search This Blog

Saturday, April 26, 2014

4 wanita disyaki dalang pemerdagangan manusia


2014/04/26 - 05:11:04

Seremban: Jabatan Imigresen menahan empat wanita, termasuk seorang warga Indonesia kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan pemerdagangan manusia yang menjadikan sebuah premis perniagaan di bandar ini sebagai pusat transit.

Pengarahnya, Faizal Fazri Othman, berkata serbuan dilakukan di sebuah premis di Taman Seri Rahang di sini, jam 11 pagi, diikuti di sebuah rumah di Kapar, Klang, Selangor, jam 11 malam kelmarin.


Serbu rumah, tahan dua pekerja

“Dalam serbuan di Taman Seri Rahang, kita menahan dua pekerja sebuah pusat jualan serta pemilik premis terbabit yang berusia sekitar 30-an.

“Hasil siasatan, kita kemudian menyerbu sebuah rumah di Kapar dan menahan seorang wanita Indonesia berusia 40-an yang dipercayai bertindak sebagai ejen membawa masuk wanita senegara menggunakan pas lawatan sosial,” katanya di sini, semalam.

Katanya, ejen terbabit dipercayai membekalkan wanita Indonesia untuk bekerja sebagai pembantu rumah secara haram kepada majikan serta menyerahkan kepada orang tengah yang mahu ‘menjual’ mereka kepada pihak ketiga.

Wanita dikurung
Serbuan itu dibuat selepas jabatan itu menyelamatkan seorang wanita Indonesia berusia 23 tahun yang dikurung selama empat hari di sebuah premis di Taman Seri Rahang selepas dia meminta bantuan orang awam melalui nota bertulis ungkapan ‘tolong saya’, tengah hari kelmarin.

Mengulas lanjut, Faizal Fazri berkata, wanita Indonesia itu yang dibawa masuk ke negara ini, Isnin lalu, dirancang dibawa ke Singapura untuk dijual kepada pihak ketiga dan bekerja sebagai pembantu rumah.

Katanya, semua suspek ditahan empat hari mulai semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIP) 2007.

No comments:

Post a Comment