Search This Blog

Saturday, April 12, 2014

4 kilang simen haram diarah tutup


SIKAP sesetengah pemandu lori yang membawa muatan simen secara berlebihan turut mencemar dan merosakkan jalan raya. - UTUSAN/RIDUAN RIZAL AHMAD
KUALA LUMPUR 11 April - Empat kilang simen yang beroperasi secara haram di Jalan Chan Sow Lin di sini, diarah tutup hari ini oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berikutan gagal mengemukakan dokumen Perintah Pembangunan kepada pihak berkuasa tempatan itu.
Difahamkan, kilang-kilang terbabit telah beroperasi selama puluhan tahun di kawasan tersebut secara haram.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, tempoh yang sewajarnya telah diberikan kepada pemilik kilang untuk mendapatkan Perintah Pembangunan namun sehingga kini tiada permohonan dibuat kepada DBKL.
“Kilang tersebut akan ditutup sehingga semua pemilik bangunan mengemukakan permohonan dan selepas itu barulah kita akan pertimbangkan sama ada hendak meluluskan permohonan itu atau tidak.
“DBKL juga akan memastikan lori-lori yang mengangkut simen dari kilang-kilang terbabit mengikut peraturan yang ditetapkan agar masalah jalan rosak di kawasan ini dapat diatasi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas memeriksa dan menyita kilang-kilang tersebut di sini.
Menurut Ahmad Phesal, pihaknya akan mengambil tindakan yang sama kepada mana-mana pengusaha kilang simen yang berdegil dalam mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh DBKL.
Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan pihaknya akan membuat pemantauan dan pengawasan berterusan terhadap kegiatan lori pengangkut simen yang melalui Jalan Chan Sow Lin .
“Kesalahan yang sering dilakukan pemandu lori adalah tidak menutup bahagian belakang ketika membawa muatan bagi mengelak tumpahan sisa konkrit.
“Selain itu, kebanyakan lori didapati membawa muatan berlebihan sehingga merosakkan keadaan jalan raya di kawasan ini," ujarnya.
Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan rungutan penduduk ekoran keadaan Jalan Chan Sow Lin yang rosak akibat kualiti turapan selain dicemari sisa konkrit yang tumpah dari lori yang membawa simen dari kilang berhampiran kawasan itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20140412/wk_01/4-kilang-simen-haram-diarah-tutup#ixzz2ycN50qEe
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment