Search This Blog

Wednesday, April 30, 2014

3 maut dirempuh pacuan empat roda


MUHAYUDIN SALLEH
30 April 2014

3 maut dirempuh pacuan empat roda
Keadaan motosikal mangsa yang dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda.



MUADZAM SHAH – Tiga daripada empat lelaki yang merupakan pekerja ladang warga Indonesia maut selepas dua buah motosikal yang dinaiki mereka dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 132, Simpang Bandar Tun Razak sekitar jam 8.30, malam Ahad lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Rompin, Asisten Superintendan Zainul Mujahidin Mat Yudin, berkata, kejadian berlaku ketika dua buah motosikal yang dinaiki empat mereka mengambil haluan arah ke kanan untuk memasuki simpang ke Bandar Tun Razak.

“Mereka dipercayai sedang menuju ke Keratong 5 dan dalam masa yang sama, sebuah kereta pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser dikatakan tidak nampak dua buah motosikal tersebut kerana lampu belakang kedua motosikal dipercayai tidak berfungsi.

"Pemandu pacuan empat roda tidak sempat mengelak dan terus merempuh di bahagian belakang kedua motosikal tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Zainul, dua mangsa maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada keesokan harinya.

Katanya, kesemua mangsa berumur sekitar 26 hingga 30 tahun dan hasil siasatan mendapati dua mangsa yang maut di tempat kejadian tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Keempat-empat mangsa didapati tidak memakai topi keledar dan kedua penunggang motosikal tersebut tidak mempunyai lesen. Seorang lagi mangsa yang cedera parah kini sedang dirawat di HTAA,” katanya.

No comments:

Post a Comment