Search This Blog

Saturday, April 12, 2014

3 diperintah bayar RM170,070


BUTTERWORTH 11 April - Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan tiga defendan membayar ganti rugi sebanyak RM170,070 kepada seorang murid lelaki yang buta mata kiri akibat tertusuk pemegang pintu yang patah dalam kejadian di bilik darjahnya di sebuah sekolah di Machang Bubuk, Bukit Mertajam, empat tahun lalu.
Hakim Roslan Hamid dalam keputusannya memerintahkan guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Kay Sin, Yew Teck Huah; Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran dan Kerajaan Malaysia yang didapati cuai dalam kes itu, membayar ganti rugi am dan ganti rugi khas terhadap P. Sasitharan, 13.
Beliau yang turut memerintahkan ketiga-tiga defendan membayar kos guaman sebanyak RM8,700 kepada Sasitharan selaku plaintif, walau bagaimanapun tidak membenarkan ganti rugi teladan yang dituntut oleh murid tersebut.
Antara ganti rugi yang dibenarkan mahkamah termasuk tuntutan berhubung kehilangan mata kiri RM80,000, kesakitan dan penderitaan (RM10,000), pembedahan mata (RM6,000), kos mata palsu sehingga plaintif berusia 18 tahun (RM17,800) dan kos mata palsu sepanjang hayat (RM42,500).
Selain itu, mahkamah membenarkan tuntutan perbelanjaan rawatan plaintif di Hospital Pulau Pinang (HPP) dengan tidak melebihi RM900 dan kos pengangkutan penerbangan ketika mendapatkan rawatan di Chennai, India berjumlah RM13,000.
Kejadian yang menyebabkan mata kiri pelajar itu tertusuk pemegang pintu yang patah berlaku pada 2 Julai 2010, kira-kira pukul 4 petang, ketika plaintif berada di dalam bilik darjahnya di SJK (C) Kay Sin.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140412/ma_05/3-diperintah-bayar-RM170070#ixzz2ycLlp4GX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment