Search This Blog

Monday, April 21, 2014

210 pemandu kenderaan berat positif dadah


2014/04/21 - 06:46:02
Kuala Lumpur: Seramai 210 daripada 4,628 pemandu kenderaan berat yang diperiksa dalam 64 operasi bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sepanjang empat bulan pertama tahun ini, dikesan positif dadah.

Daripada jumlah itu, 14 adalah pemandu bas berusia 20 hingga 50 tahun yang diarah menjalani saringan air kencing ketika mengendali pengangkutan awam terbabit, susulan pemeriksaan terhadap 14 terminal pengangkutan awam dan lebuh raya di seluruh negara.


Sabah merekodkan jumlah pemandu paling ramai positif dadah dengan 47 orang, diikuti Wilayah Persekutuan (28) dan Kedah (25). Dalam tempoh lima tahun antara 2008 hingga 2012 pula, seramai 3,653 pemandu kenderaan berat dikesan positif dadah.

Penolong Pegawai AADK, Mohd Firdaus Mohd Zain, berkata antara jenis dadah diambil adalah ‘methamphetamin’, ‘tetra hydrocannibol’ dan ‘opiat’.

“Operasi bersepadu bersama beberapa agensi termasuk JPJ adalah sebagai langkah pencegahan dalam usaha AADK mengelak pemandu di bawah pengaruh dadah menjadi punca kemalangan. Pengambilan dadah ketika memandu boleh mengancam keselamatan diri dan orang lain,” katanya ketika dihubungi BH.

Sementara itu, Pengarah Penguat Kuasa JPJ, Jaafar Mohamed, berkata pihak berkuasa tiada keupayaan memastikan setiap pemandu khususnya pemandu bas, bebas dadah setiap kali berada di jalan raya kerana pemeriksaan air kencing dan perakuan kesihatan hanya dibuat setahun sekali bagi menyokong pembaharuan lesen memandu.

“Kita tidak tahu jika pemandu mengambil dadah selepas lesen diperbaharui. Namun, penelitian boleh dilakukan majikan mereka untuk memastikan setiap pekerja bebas dadah dan alkohol sebelum memandu,” katanya.

No comments:

Post a Comment