Search This Blog

Saturday, April 26, 2014

2,000 kedai terbakar di Pasar Senen


Api dan kepulan asap tebal menyelubungi ruang udara Pasar Senen di Jakarta Pusat, apabila kira-kira 2,000 buah kedai terbakar semalam. - AGENSI
JAKARTA 25 April - Lebih 2,000 kedai di Blok III Pasar Senen, Jakarta Pusat di sini musnah dalam sebuah kebakaran mengakibatkan kerugian bernilai lebih Rp 100 miliar (RM28 juta).
Kebakaran yang berlaku awal pagi ini merupakan kebakaran terbesar dan yang kedua pernah terjadi di negara ini.
"Kami menganggarkan kerugian lebih daripada Rp 100 miliar kerana setiap peniaga kehilangan Rp 200 juta (RM56,000) dan terdapat lebih 2,000 kedai di situ," kata Ketua Umum Ikatan Pedagang Pasar Seluruh Indonesia, Abdullah Mansuri kepada wartawan di sini hari ini.
Sehubungan itu, Abdullah berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat menghulurkan bantuan secepat mungkin termasuk tempat berniaga serta bantuan psikologi kerana hampir kesemua peniaga di situ sedih akibat kehilangan tempat mencari rezeki.
Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Pengurusan Bencana, Jakarta, Subejo berkata, hampir seluruh kedai terlibat menjual kain.
"Punca kebakaran disebabkan litar pintas. Kain-kain yang dijual menyebabkan api marak dengan cepat," kata Subejo.
Sebanyak 43 jentera bomba dari daerah Jakarta Pusat, Jakarta Timur, Jakarta Barat dan Jakarta Selatan dikejarkan ke tempat kejadian.
"Kami menghadapi masalah bekalan air yang kurang serta kesesakan trafik selain banyak bahan yang mudah terbakar," jelas Subejo lagi. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140426/lu_04/2000-kedai-terbakar-di-Pasar-Senen#ixzz2zwRY1Hj1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment