Search This Blog

Saturday, April 12, 2014

2 polis cedera ditembak penjenayah


Abdul Rahim Jaafar menunjukkan fotofit penjenayah yang menembak dua anggota polis di Ampang, Selangor, semalam. - UTUSAN/WAHIDAH ZAINAL
KUALA LUMPUR 11 April - Seorang anggota polis berpangkat lans koperal cedera parah manakala rakannya berpangkat koperal cede­ra ringan akibat ditembak seorang daripada dua penjenayah yang bertatu harimau di Lembah Maju, Ampang, di sini hari ini.
Mangsa, Lionel Richard Jr. 26, cedera parah di kanan perutnya sementara Zul Fazli Atlahi, 28, pula cedera di ari-ari.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, kedua-dua anggota kereta peronda dari Balai Polis Pandan Indah itu sedang meronda sebelum terserempak dengan dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di lokasi terbabit.
Mereka kemudian berhenti melakukan pemeriksaan terhadap salah seorang suspek yang berada di atas motosikal sebelum seorang lagi rakannya yang berdiri di kawasan berhampiran cuba melarikan diri.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, Lionel cuba mengejar suspek terbabit serta sempat menarik bahagian belakang bajunya namun secara tiba-tiba lelaki itu melepaskan tiga das tembakan dengan dua daripadanya mengenai perut mangsa.
Kata beliau, satu lagi das tembakan tersasar dan mengenai ari-ari Zul Fazli.
Abdul Rahim berkata, kedua-dua suspek yang berusia 30-an itu kemudian melarikan diri ke arah kawasan perumahan berdekatan.
“Semasa menarik baju suspek, Lionel sempat melihat tatu gambar harimau di bahagian belakang badan lelaki itu.
“Kita masih lagi menyiasat punca kejadian itu dan kedua-dua anggota yang cedera dihantar ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan lanjut," katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Pandan Indah, di sini hari ini.
Abdul Rahim berkata, pihaknya percaya suspek merupakan ahli kumpulan kongsi gelap berdasarkan lambang tatu harimau tersebut.
“Siasatan juga mendapati motosikal yang digunakan suspek merupakan kenderaan curi dan menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140412/je_05/2-polis-cedera-ditembak-penjenayah#ixzz2ycFkbU9a
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment