Search This Blog

Saturday, April 26, 2014

2 cedera helikopter Apache terhempas di bangunan kediaman


Bangkai helikopter Apache AH-64E, diangkat menggunakan kren selepas terhempas ke atas sebuah bangunan kediaman ketika penerbangan rutin di Taoyuan, utara Taiwan, semalam. - AFP
TAIPEI 25 April - Dua juruterbang Taiwan terselamat dan hanya mengalami kecederaan kecil selepas helikopter tempur jenis Apache yang dipandu, terhempas di atas sebuah bangunan kediaman tiga tingkat di utara negara ini ketika melakukan latihan rutin hari ini.
Sumber tentera melaporkan, kedua-dua juruterbang berkenaan dihantar ke hospital tentera untuk dirawat ekoran kejadian di Taoyuan dan tiada orang awam mengalami kecederaan dalam insiden terbabit.
Tiada letupan atau kebakaran tercetus apabila helikopter ber­kenaan terhempas.
"Kemalangan terbabit berlaku apabila dua juruterbang itu menaiki helikopter Apache AH-64E ketika sesi latihan dan punca sebenar kejadian masih belum diketahui.
"Sepasukan unit khas dihantar ke lokasi kejadian bagi mengenal pasti punca sebenar," kata sumber itu.
Rakaman televisyen tempatan turut menunjukkan sepasukan anggota tentera menyiasat serpihan helikopter yang tersadai di atas bangunan terbabit.
November lalu, Taiwan me­nerima enam buah helikopter penye­rang Apache AH-64E yang pertama daripada 30 buah yang ditempah dari Amerika Syarikat (AS) sebagai usaha memodenkan tentera udara negara ini.
Namun, operasi helikopter itu digantung buat sementara dari Di­sember hingga Februari lalu untuk pemeriksaan selepas Washington melaporkan tentang kerosakan teknikal pada model terbabit.
Tentera Taiwan menjadi negara luar pertama yang menggunakan Apache AH-64E yang dilabelkan sebagai helikopter penyerang paling hebat di dunia.
Baki 24 helikopter berkenaan akan dihantar ke Taiwan pada hujung tahun ini, enam tahun selepas perjanjian senjata bernilai AS$6.5 bilion (RM21.2 bilion) antara Taipei-Washington dimeterai pada 2008. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140426/lu_02/2-cedera-helikopter-Apache-terhempas-di-bangunan-kediaman#ixzz2zwOdvPWE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment