Search This Blog

Monday, May 26, 2014

Nyaris maut ditetak dengan pedang


WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Mei 2014


BESUT – Seorang lelaki nyaris maut apabila dia ditetak dengan pedang dalam kejadian di hadapan sebuah rumah di Pekan Jabi, Kampung Raja, di sini, Rabu lalu.

Kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu mengakibatkan mangsa yang berusia 23 tahun, mengalami kecederaan parah di kepala dan luka di bahagian tangan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa yang bekerja sebagai buruh, berada di hadapan rumah rakannya sebelum didatangi sekumpulan enam lelaki yang menaiki Perodua Viva dan sebuah motosikal.

“Sebaik turun dari kenderaan, suspek meluru ke arah mangsa lalu menyerang menggunakan pedang dan kayu. Mangsa cuba menyelamatkan diri dengan berlari masuk ke dalam rumah rakannya, tetapi gagal apabila suspek turut mengejar lalu memukul dan menetaknya di ruang tamu,” katanya.

Noorzainy berkata, semua suspek kemudiannya melarikan diri dan mangsa dikejarkan ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut.

Kata beliau, hasil siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berpunca daripada masalah hutang pil kuda dan mangsa memaklumkan, hanya mengecam seorang daripada enam suspek berkenaan.

“Akibat kecederaan itu, mangsa menerima 13 jahitan di kepala, selain turut mengalami luka dan lebam di tangan akibat diserang lelaki bersenjatakan pedang serta kayu berkenaan.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya," katanya.

No comments:

Post a Comment