Search This Blog

Saturday, April 12, 2014

Gempur militan


Manila: Tentera Filipina melancarkan serangan terhadap Abu Sayyaf awal pagi semalam yang mengakibatkan sekurang-kurangnya tiga militan maut manakala 20 askar cedera.

Komander briged Brigadier Jeneral Carlito Galvez berkata, sebahagian daripada lebih 60 anggota Abu Sayyaf itu cuba berlindung di sebuah sekolah di Pulau Basilan, namun tidak diketahui sama ada mereka mengambil tawanan atau sudah meninggalkan kawasan berkenaan.


Sekolah itu sepatutnya kosong kerana cuti persekolahan.

Katanya, pihaknya mempercayai tiga militan terbunuh manakala dua lagi parah. Tiga anggota tentera parah manakala 17 lain cedera ringan.


Pergerakan anggota tentera ke kawasan terbabit agak sukar kerana terpaksa melalui kawasan dikawal Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang baru-baru ini menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan Filipina.


Ini berikutan terma gencatan senjata menyatakan tentera perlu menyelaraskan pergerakannya di kawasan MILF untuk mengelak pertempuran secara tidak sengaja.

“Kami masih memburu mereka dan pertempuran kecil masih berlaku,” katanya.

Sementara itu, jurucakap tentera Leftenan Kolonel Ramon Zagala berkata, kira-kira 200 askar ditugaskan ke kawasan itu sebelum waktu subuh untuk menyerbu sekumpulan lelaki bersenjata diketuai komander Abu Sayyaf Puruji Indama di perbandaran Unkaya Pukan, Basilan.

Katanya, serangan dilakukan selepas Indama dan pengikutnya mengugut serta cuba memeras wang daripada sebuah projek jalan utama di Basilan - kawasan berpenduduk Islam tinggi yang juga tempat kelahiran Abu Sayyaf.

Bagaimanapun, katanya, kejadian itu tiada kaitan dengan penculikan seorang pelancong China berusia 28 tahun di sebuah resort di Malaysia.

Menurutnya, pihak tentera pada mulanya bertempur dengan lebih 30 pejuang Abu Sayyaf sebelum dua kumpulan berasingan tiba untuk memberi bantuan.

Nasib Indama tidak diketahui, namun dia dikehendaki pihak berkuasa Filipina kerana didakwa terbabit dalam beberapa serangan bom dan penculikan.- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/12

No comments:

Post a Comment