Search This Blog

Monday, April 7, 2014

10 lelaki sesat di Gunung Tok Wan ditemui selamat


Sebahagian daripada mereka yang sesat di Gunung Tok Wan mengaminkan doa selepas mereka diselamatkan oleh pasukan bomba dan penyelamat di Hulu Langat, Selangor, semalam. - UTUSAN/RUSHDI SALLEH
HULU LANGAT 6 April - Sekumpulan 10 lelaki termasuk enam pelajar Sekolah Menengah Saujana Impian, Kajang di sini yang sesat lebih 24 jam ketika mendaki Gunung Tok Wan berhampiran Bukit Broga, Semenyih ditemui selamat di perkampungan Orang Asli, Kampung Kachau di sini pagi ini.
Mangsa, Nor Azreen Razali, 21; Izarazizi Saribon, 20; Asyraf Mohamad, 20; Muhammad Hariz Ariff, 20; Norman Hakim Abd. Rahman, 16; Akmal Hakim Ahmad Kamal, 16; Wan Ahmad Faris Wan Mohd. Nazmi, 16; Mohd. Haris Sahrizan serta pasangan kembar, Mohd. Zafran dan Mohd Zakuan Mohd. Azmir, 16, ditemui oleh pasukan penyelamat kira-kira pukul 10.30 pagi.
Mereka dikatakan tersesat kira-kira pukul 7 pagi semalam apabila mula mendaki Bukit Broga beberapa jam sebelum itu, bagi menyaksikan matahari terbit
Difahamkan, kesemua mereka selamat ditemui di Kampung Kachau setelah dua daripada ahli kumpulan berkenaan berpecah untuk mencari serta meminta bantuan daripada Orang Asli terbabit.
Menceritakan peristiwa itu, Izarazizi memberitahu, dia, Nor Azreen, Asyraf dan Muhammad Hariz mendaki secara berasingan dan mereka hanya bertemu enam remaja terbabit ketika menghampiri puncak Bukit Broga.
"Mereka bersetuju mengikut kami mendaki Gunung Tok Wan untuk melihat matahari terbit. Mulanya pendakian itu tidak menimbulkan sebarang masalah tetapi apabila kami memutuskan untuk berpatah balik sebelum sampai ke puncak gunung, saya sendiri merasakan ada sesuatu yang tidak kena.
"Kami berjalan turun tetapi hanya berpusing di lokasi yang sama. Ketika itulah saya tahu bahawa kami telah sesat dan terus menghubungi rakan yang berada di bawah bukit supaya segera meminta bantuan," katanya ketika ditemui selepas diselamatkan, di sini hari ini.
Jelas Izarazizi lagi, mereka nekad untuk mencari sungai dengan harapan arus itu membawa mereka ke kawasan selamat tetapi tragedi berlaku apabila kaki Muhammad Hariz terseliuh setelah tersepit di celahan batu air terjun.
"Kami meneruskan perjalanan namun kerana kecederaan Muhammad Hariz makin serius dan masing-masing telah kepenatan serta kelaparan, kami membuat keputusan untuk berehat dan berteduh di bawah pokok walaupun hujan lebat.
"Beberapa jam selepas itu, saya dan seorang lagi rakan memberanikan diri untuk mencari perkampungan Orang Asli dengan hanya berpandukan salur paip dan alhamdullilah kami berjaya menemui kampung itu dan memperoleh bantuan," katanya.
Sementara itu, Mohd. Zafran memberitahu, peristiwa itu membuatkan dia trauma lebih-lebih lagi melihat adik kembarnya, Mohd. Zakuan yang mengigil kesejukan dan ketakutan.
"Macam-macam perasaan ada ketika kami berehat dalam hujan lebat namun melihat adik mengigil kesejukan memaksa saya menjadi tabah dan memeluknya sehinggalah bantuan tiba," katanya yang mengakui akan berfikir panjang jika mahu mendaki lagi.
Sementara itu, Masriyah Abdul Wahab, 48, ibu kepada salah seorang mangsa berkata, dia sekeluarga bersyukur apabila anaknya, Muhammad Hariz selamat biarpun mengalami kecederaan.
"Muhammad Hariz sendiri yang menghubungi saya untuk memberitahu, dia dan rakan-rakan telah sesat. Tiada apa yang dapat saya lakukan kecuali berdoa agar dia dilindungi Allah ketika berada di dalam hutan.
"Apabila melihat dia berjaya dibawa keluar, kebimbangan saya terus hilang biarpun kakinya tercedera. Apa yang saya mahu adalah dia dan rakan-rakan selamat," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140407/je_01/10-lelaki-sesat-di-Gunung-Tok-Wan-ditemui-selamat#ixzz2yCVl4rhN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment