Search This Blog

Wednesday, March 5, 2014

Warga emas wanita maut dirempuh


SABAK BERNAM 4 Mac - Seorang tukang cuci wanita warga emas maut setelah basikal ditunggangnya dirempuh oleh sebuah kenderaan ketika dalam perjalanan pulang selepas tamat bekerja, awal pagi ini.
Dalam kejadian pukul 1.25 pagi itu, Phur Ah Ching, 60, hendak pulang ke rumahnya selepas selesai bekerja mencuci pinggan di sebuah restoran di pekan Sekinchan.
Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 70, Jalan Klang-Teluk Intan, Sekinchan.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Supritendan Noor Mushar Mohamad berkata, siasatan awal mendapati pemandu kenderaan terbabit tidak menyedari kehadiran mangsa berikutan lokasi kejadian gelap.
"Akibat rempuhan itu, mangsa cedera parah di bahagian kepala akibat tercampak ke tengah jalan dan maut di tempat kejadian," katanya di sini hari ini.
Difahamkan, pemandu MPV berusia 28 tahun tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.
Noor Mushar seterusnya menasihatkan orang ramai berhati-hati berikutan kes kemalangan maut kerap berlaku di laluan berkenaan.
"Kita minta pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati dan tidak memecut laju lebih-lebih lagi pada waktu malam kerana keadaan persekitaran yang gelap," katanya.
Kata beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah Sabak Bernam untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140305/je_09/Warga-emas-wanita-maut-dirempuh#ixzz2v2NzmvN1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment