Search This Blog

Wednesday, March 5, 2014

Wanita terkejut temui bapa mentua mati dikelar


Anggota polis mengangkat mayat Chan Yan Choi yang dipercayai dibunuh dalam rumah teres setingkat yang didiaminya di Taman Song Choon di Ipoh, Perak, semalam.- BERNAMA
IPOH 4 Mac - Rutin harian seorang wanita mengunjungi bapa mentuanya setiap pagi, menjadi yang terakhir hari ini apabila warga emas itu mati dikelar di rumahnya di Taman Song Choon dekat sini.
Mayat Chan Yan Choi, 70, dijumpai terbaring berlumuran darah dengan kesan kelaran pada bahagian leher di dapur rumah, pada pukul 7.55 pagi.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, kejadian disedari oleh menantu mangsa yang datang ke rumah berkenaan untuk melihat bapa mentuanya yang tinggal seorang diri.
Katanya, ketika sampai di rumah itu, wanita tersebut melihat pagar dan pintu rumah terbuka dan sebaik sahaja masuk ke dalam rumah, dia terkejut apabila menemukan bapa mentuanya terbaring dengan kesan kecederaan di leher.
"Pemeriksaan ke atas mayat mangsa mendapati tiada kesan pergelutan kecuali kesan kelaran di bahagian leher lelaki itu manakala keadaan rumah pula tidak menunjukkan sebarang tanda dipecah masuk.
"Kita juga mendapati tiada kehilangan barang berharga dengan wang mangsa masih ada di dalam rumah. Bagaimanapun, sehingga kini kita masih belum menjumpai dompet lelaki tersebut," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Chang Keong berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.
Katanya, polis masih menyiasat motif sebenar pembunuhan berikutan hanya dompet mangsa sahaja yang hilang manakala wang dan barang berharga lain tidak diusik.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya yang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140305/je_08/Wanita-terkejut-temui-bapa-mentua-mati-dikelar#ixzz2v2O8NT6u
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment