Search This Blog

Monday, March 24, 2014

Tiga sekeluarga maut, tiga lagi cedera nahas di Bandar Baharu


BANDAR BAHARU 24 Mac - Tiga sekeluarga maut manakala tiga lagi cedera dalam nahas yang membabitkan dua kenderaan di Kilometer 170 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran sempadan Bandar Baharu-Nibong Tebal di sini hari ini.
Dalam kejadian 7 pagi itu, mangsa yang maut ialah Teoh Yee Wei, 36, dari Simpang Empat, Alor Setar dan anak sulungnya, Heng Dy Hong, 5, (lelaki) dan anak bongsu, Heng Yin Rue, 1 (perempuan).
Dua mangsa yang cedera parah ialah suami Teoh, Heng Cheng Hang, 36, serta seorang pembantu rumah warga Filipina dikenali sebagai Pachuya, 25. Seorang lagi anak mereka, Heng Xin Ler, 2, (perempuan) cedera ringan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, ASP Azmi Abu Bakar berkata, nahas dipercayai berlaku apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dipandu Cheng Hang cuba memotong sebuah lori membawa makanan ternakan yang bergerak perlahan.
Beliau berkata bagaimanapun, MPV hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh bahagian belakang lori berkenaan.
"Semasa kejadian, mereka sekeluarga dalam perjalanan dari Simpang Empat, Alor Setar menghala ke Kuala Lumpur. Berikutan itu, kereta Toyota Vellfire berkenaan remuk teruk.
"Yee Wei yang duduk di kerusi penumpang depan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sementara anak sulung dan anak bongsunya, yang duduk di kerusi penumpang belakang, turut parah. Ketiga-tiga mereka meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Azmi berkata Cheng Hang dan Pachuya pula dipercayai tersepit di tempat duduk masing-masing manakala pemandu lori, Tan Kim Leng, 56, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Parit Buntar, Perak manakala mayat dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat sebelum dituntut anggota keluarga lewat petang ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
- BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140324/dn_54/Tiga-sekeluarga-maut-tiga-lagi-cedera-nahas-di-Bandar-Baharu#ixzz2wvV73URx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment