Search This Blog

Wednesday, March 19, 2014

Tiga dituduh bunuh Ketua Wanita Semenchu


Oleh Isma Ismail
Kota Tinggi: Tiga lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam, terhadap tuduhan membunuh Ketua Wanita UMNO Cawangan FELDA Semenchu Zalfah Jamaluddin, 68, di sini, Februari lalu.

Ketiga-tiga tertuduh Amirul Syahid Mohamad Razali, 20, Harulnizam Salleh, 25, dan Mazlan Kasim, 21, mengaku faham dengan tuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mazana Sinin, namun tiada pengakuan direkodkan.



Semua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Zalfah di rumah bernombor 36, Blok 2, FELDA Semenchu, jam 12.20 tengah hari, 28 Februari lalu, jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Ketika tiba di pekarangan mahkamah jam 8.30 pagi, ahli keluarga ketiga-tiga tertuduh merapati mereka yang berpakaian lokap polis dengan ada yang menangis dan memeluk tertuduh sebelum ketiga-tiga mereka dibawa ke kandang tertuduh.

Anggota polis mahkamah juga terpaksa meminta ahli keluarga tertuduh yang berada di galeri awam supaya bertenang dan mengawal emosi supaya tidak mengganggu prosiding.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suhaila Shafi’uddin manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.


Mahkamah menetapkan 22 April depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat .

Sebelum ini, akhbar melaporkan tujuh lelaki berusia antara 23 hingga 27 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes merompak dan membunuh Zalfah.

Semua suspek ditahan di sebuah rumah berhampiran FELDA Semenchu dan Stulang Laut pada 6 Mac lalu.

Mangsa ditemui mati di rumahnya oleh anaknya sendiri yang datang untuk menziarah.

Mangsa yang tinggal seorang diri dipercayai meninggal dunia akibat sesak nafas.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/19

No comments:

Post a Comment