Search This Blog

Sunday, March 16, 2014

Tidak sempat solat Jumaat

KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
Tidak sempat solat Jumaat
Orang ramai membantu mengangkat mayat mangsa yang maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala. 
16 Mac 2014
BAGAN SERAI - Hasrat murni seorang penuntut kolej swasta ingin menunaikan solat Jumaat tidak kesampaian apabila dia maut dalam satu kemalangan ngeri di Kilometer 94 Jalan Ipoh-Butterworth arah utara, berhampiran Masjid Kampung Dew, di sini, kelmarin.

Lebih menyayat hati, pemergian mangsa, Jamaluddin Abu Bakar, 18, yang berasal dari Simpang, Taiping diratapi bapanya yang memeluk jenazah anaknya selama hampir lima minit, sebelum ditenangkan polis dan ahli keluarga.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa difahamkan maut di tempat kejadian setelah motosikal ditunggangnya merempuh sebuah jentolak yang keluar dari persimpangan sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Dew, di sini secara mengejut.

Rakan karib mangsa, Yusof Hamzah, 20, berkata, sebelum kejadian, dia menemani mangsa membuka akaun simpanan di sebuah bank tempatan untuk kegunaan kolej remaja itu di Bagan Serai.

Menurutnya, selepas mangsa menyelesaikan urusan bank, dia mengajak mangsa singgah di rumahnya di sini untuk membersihkan diri sebelum bersama-sama pergi menunaikan solat Jumaat.

“Dalam perjalanan ke rumah saya, sebuah jentolak keluar secara melulu daripada satu persimpangan di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran, menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak dan merempuh jentera berat berkenaan.

“Saya juga hampir terbabit dalam kemalangan itu tetapi saya sempat mengelak motosikal daripada terus merempuh jentolak berkenaan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Yusof berkata, sebaik sahaja berjaya mengelakkan jentolak terbabit, dia terus memberhentikan motosikalnya dan meluru ke arah mangsa untuk melihat keadaan remaja itu.

Katanya, bagaimanapun, keadaan mangsa amat menyedihkan apabila topi keledar dipakai pecah, manakala kepala Jamaluddin remuk akibat terhentak pada batang hidraulik jentolak terbabit.

Menurutnya, dia kemudiannya segera meminta pertolongan daripada seorang rakannya untuk memaklumkan kejadian tersebut kepada bapa mangsa yang berada di rumah di Taiping.

Menurutnya, suasana pilu menyelubungi lokasi kejadian apabila bapa mangsa yang tiba di lokasi kejadian terus menangis dan memeluk erat jenazah anaknya sebelum ditenangkan orang ramai dan polis.

Sementara itu, bapa mangsa, Abu Bakar Saad, 45, berkata, dia masih tidak dapat menerima hakikat kehilangan anak kedua dari empat beradik yang baru melanjutkan pelajaran di sebuah kolej swasta di Kampung Boyan, Taiping.

Menurutnya, mangsa ada memaklumkan hasratnya untuk membuka akaun simpanan di sebuah bank tempatan untuk kegunaan kolejnya dan meminta kebenaran darinya untuk menyelesaikan urusan itu.

“Arawah baru sahaja melanjutkan pelajaran di sebuah kolej pada awal tahun ini dan dia merupakan seorang anak yang sangat baik serta taat perintah orang tua.

“Biarpun letih belajar, dia tidak pernah merungut setiap kali diminta membantu ibunya berniaga sebaik tamat waktu belajar,” katanya.

Abu Bakar berkata, anaknya itu merupakan seorang yang periang, namun sikapnya mula berubah menjadi pendiam dan sering tersenyum sejak dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati jentolak dirempuh mangsa dipercayai keluar dari sebuah persimpangan secara meluru sehingga menyebabkan motosikal dinaiki mangsa tidak sempat mengelak.

“Pemandu jentolak itu pada mulanya disangka melarikan diri, namun membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian cawangan Trafik di Bagan Serai.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

No comments:

Post a Comment