Search This Blog

Wednesday, March 5, 2014

Tiada kompromi buru penjenayah ganas bunuh anggota keselamatan


KLANG 4 Mac - Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi dengan penjenayah warga asing yang bertindak ganas sehingga tergamak membunuh anggota polis yang menjalankan tugas mengawal keselamatan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar (gambar) berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut dan akan memburu suspek yang terlibat untuk dibawa ke muka pengadilan.
Tegasnya, penjenayah sedemikian tidak boleh dibiarkan terlepas berikutan sikap mereka yang ganas dan sanggup membunuh anggota pasukan keselamatan.
"Polis akan mengambil tindakan tegas dan mereka (penjenayah warga asing) akan didakwa mengikut undang-undang negara kita," katanya kepada pemberita di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini hari ini..
Beliau ditemui selepas menziarahi keluarga Koperal Raja Aizam Raja Mohd., 53, yang meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital selepas cedera parah ditikam di kepala oleh penjenayah warga asing semasa melakukan rondaan di sebuah lorong di Taman Sentosa di sini, awal pagi ini.
Sebelum itu, beliau melawat rakan setugas Raja Aizam, Koperal Mohd. Aidil Mustafa, 29, yang juga cedera parah dalam kejadian berkenaan.
Wan Junaidi menambah, insiden melibatkan penjenayah warga asing menyerang anggota pasukan keselamatan sehingga menyebabkan kematian tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Ini membuktikan mereka kini semakin berani menggunakan kekerasan secara keterlaluan kepada pasukan keselamatan.
"Ini menjadi pengajaran yang amat berguna kepada kita dan saya harap semua pihak turut menyokong usaha kerajaan membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI)," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140305/je_13/Tiada-kompromi-buru-penjenayah-ganas-bunuh-anggota-keselamatan#ixzz2v2Nr1J8h
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment