Search This Blog

Wednesday, March 19, 2014

Tertuduh mengaku 2 wanita bukan mahram dalam rumah


2014/03/19
Kuala Lumpur: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini, semalam, seorang daripada tiga tertuduh mengakui ada dua wanita bukan mahram di dalam rumah mereka ketika pemeriksaan oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), pada 23 Februari 2011 lalu.

Mohd Nazrul Fikhri Abdullah, 26, yang juga penguat kuasa JAIS membuat pengakuan itu ketika disoal Pegawai Pendakwa JAIS, Zusyarafain Yusoff, pada prosiding perbicaraan kes khalwat membabitkan pelakon, Beego atau nama sebenarnya, Md Aszerul Nizam Abdullah, 34, dan dua rakannya.


Ketika pemeriksaan bersama tiga lagi penguat kuasa JAIS, Mohd Nazrul Fikhri selaku saksi kedua, berkata dia memberi salam dan menekan loceng sebaik tiba di depan rumah berkenaan sebelum dibuka Fikry Zainon seminit kemudian.

“Selepas pintu dibuka, saya memperkenalkan diri sebagai pegawai JAIS dan beritahu mahu melakukan pemeriksaan. Lelaki itu (Fikry) kemudian minta saya tunggu sebentar untuk memanggil rakannya yang berada dalam rumah.

“Selang beberapa minit, seorang lagi lelaki (Beego) menjenguk di pintu. Saya sekali lagi memperkenalkan diri dan minta izin untuk masuk. Sebaik masuk, dia memberitahu memang ada bukan muhrim menumpang di situ,” katanya.

Mohd Nazrul Fikhri berkata, dia kemudian meminta semua tertuduh berkumpul di ruang tamu serta memberikan kad pengenalan masing-masing untuk catatan, manakala anggota lain membuat pemeriksaan di dalam bilik.

Pada 8 Mei 2012, Beego bersama pekerja swasta, Fikry, 22, dan Mohd Arsli Meor Atan Ahmad, 22, mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkhalwat mengikut Seksyen 29(1)(a) dan (b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mereka dituduh berkhalwat di sebuah unit di kondominium di Bukit Antarabangsa, kira-kira jam 6 pagi, 23 Februari 2011.

Bagaimanapun, kenalan mereka, Azlina Yazit @ Aziz dan Hadijah Mohamad Mokhar, masing-masing berusia 30-an, mengaku bersalah atas tuduhan itu dan didenda RM3,000.

Ketika disoal balas Peguam Syarie, Fakhrul Azman Abu Hasan yang mewakili ketiga-tiga tertuduh, Mohd Nazrul bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa dia tidak mendapat maklumat lengkap daripada seorang lagi penguat kuasa, Muhamad Luqman Ramli, 34, berhubung siapa dan berapa orang yang hendak ditahan dalam operasi itu.

Bagaimanapun, dia tidak bersetuju dengan cadangan Fakhrul Azman yang mengatakan bahawa Muhamad Luqman menyembunyikan fakta sebenar aduan berkenaan walaupun mengetahui beberapa fakta lain.

Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin bersambung pada 20 Mei dan 10 Jun depan.

No comments:

Post a Comment