Search This Blog

Sunday, March 16, 2014

Teori rampasan beri kelegaan


Sebahagian ahli keluarga penumpang pesawat MH370 di China, menonton sidang akhbar secara langsung diberikan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak di Hotel Lido, Beijing, semalam. - REUTERS
BEIJING 15 Mac - Berita tentang kemungkinan pesawat MH370 dirampas, menghidupkan semula harapan ahli keluarga penumpang bahawa kapal terbang itu mungkin mendarat di lokasi tertentu dan kesemua mangsa di dalamnya masih selamat.
Kemungkinan terbaharu itu yang diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Abdul Razak di Kuala Lumpur hari ini, turut dikuatkan lagi dengan laporan seorang wanita yang mendakwa menerima panggilan dari ayahnya, seorang daripada penumpang MH370.
Panggilan itu bagaimanapun tidak sempat dijawabnya.
Media China melaporkan, wanita yang enggan dikenali itu cuba menghubungi telefon bimbit ayahnya semula, namun gagal.
Dakwaan wanita tersebut turut tersebar di laman web sosial China, Sina Weibo.
Walaupun laporan berkenaan tidak dapat disahkan, sekurang-kurangnya petunjuk baharu tentang pesawat milik Malaysia Airlines itu dirampas lebih baik berbanding terhempas atau meletup di udara.
Para pengguna media sosial di China termasuk laman Seina Weibo memberi maklum balas positif terhadap perkembangan terbaharu yang diumumkan Najib dengan harapan maklumat tersebut tidak berubah.
"Rampasan pesawat lebih baik berbanding terhempas," kata seorang pengguna laman sosial itu.
Pengumuman Najib hari ini juga akan memberi semangat baharu kepada kira-kira 300 ahli keluarga penumpang MH370 yang memenuhi sebuah bilik menunggu di Hotel Lido di Beijing bagi mengikuti perkembangan nasib keluarga mereka.
Semalam, seorang wanita yang enggan dikenali berkata, dia bersama kebanyakan ahli keluarga penumpang yang lain berharap agar pesawat itu dirampas memandangkan itu satu-satunya peluang untuk saudaranya terus hidup. - AFP/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140316/lu_01/Teori-rampasan-beri-kelegaan#ixzz2w4YiKT2p
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment