Search This Blog

Wednesday, March 5, 2014

Sindiket samun jongkong tembaga RM1j tumpas


Sindiket samun jongkong tembaga RM1j tumpas
Sindiket samun jongkong tembaga RM1j tumpas
2014/03/05

Mohd Mokhtar (tengah) menunjukkan sebahagian barangan yang dirampas dalam serbuan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, semalam. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim
Johor Bahru: Polis Johor menumpaskan satu sindiket samun jongkong tembaga bernilai hampir RM1 juta, menerusi siri serbuan sekitar Seri Alam dekat Pasir Gudang, di sini.

Dalam serbuan pada 24 Februari lalu, polis menahan 18 lelaki berusia 19 hingga 48 tahun dipercayai anggota sindiket terbabit.


Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata gerakan bermula selepas pihaknya menerima laporan sebuah lori kargo dengan muatan tembaga dilarikan dari perkarangan sebuah kilang di Pasir Gudang, jam 2.40 petang.

Katanya, dalam tempoh setengah jam, polis mengesan kenderaan terbabit di ladang sawit dekat Mount Austin, kira-kira 15 kilometer dari lokasi ia dilarikan.

“Polis menyerbu lokasi terbabit dan berjaya menemui semula lori 12 tan dengan muatan jongkong tembaga. Susulan penemuan itu, polis melakukan beberapa serbuan sekitar Seri Alam, Pasir Gudang dan Johor Bahru yang berhasil menahan 18 lelaki.

“Siasatan awal mendapati, empat daripada suspek memiliki rekod jenayah lampau dan mereka ditahan reman sehingga Sabtu ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, semalam.

Mohd Mokhtar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Sindiket samun kargo tumpas

Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohd Mokhtar berkata, polis menumpaskan sindiket samun kargo perabot separa siap yang dilarikan di Plaza Tol Tangkak, Ledang, pada Jumaat lalu.

Katanya, dalam kejadian jam 5 pagi itu, tiga lelaki bersenjatakan parang mengikat pemandu kenderaan terbabit sebelum melarikan lori dengan muatan perabot separa siap bernilai RM100,000.

“Kira-kira jam 2 petang Sabtu lalu, polis menjalankan beberapa serbuan sekitar Seremban, Negeri Sembilan sebelum menahan tiga suspek berusia 36 hingga 38 tahun,” katanya.

Mohd Mokhtar berkata, polis merampas empat parang, pemutar skru boleh laras serta dua telefon bimbit milik mangsa.

Katanya, semua suspek termasuk dua yang mempunyai rekod jenayah lampau ditahan reman sehingga Sabtu ini bagi siasatan lanjut kes berkenaan.

“Kumpulan itu dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya enam kes samun lori di sekitar Johor dan Negeri Sembilan,” katanya.

No comments:

Post a Comment