Search This Blog

Wednesday, March 5, 2014

Sindiket poligami ekspres RM3,000

MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI
Sindiket poligami ekspres RM3,000
Mohamad Shariff menunjukkan laporan polis yang dibuat.
4 Mac 2014
 ALOR SETAR – Demi merahsiakan perkahwinan kedua daripada isteri pertama, ada suami yang sanggup menggunakan khidmat sindiket nikah yang menyediakan pakej lengkap termasuk sijil nikah menyerupai yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik).

Amat membimbangkan apabila proses akad nikah pasangan berkenaan juga dilakukan tanpa kehadiran wali.

Sindiket berkenaan dipercayai bergerak aktif sejak beberapa tahun lalu dengan mengenakan bayaran serendah RM3,000 dan dikatakan mendapat sambutan hangat mereka yang mahu berpoligami secara rahsia.

Difahamkan, sindiket terbabit bijak memancing pasangan berkenaan supaya menggunakan khidmat mereka dengan mempercepatkan pengeluaran sijil nikah beberapa hari sebelum akad nikah berlangsung.

Lebih mengejutkan, sindiket itu turut didakwa didalangi 'orang dalam' sebuah masjid dekat Kuala Kedah yang mendorong sebuah badan bertindak membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, di sini, semalam.

Wakil badan itu, Mohamad Shariff Nawab, 66, berkata, bagi membolehkan pernikahan itu berlangsung, sindiket berkenaan akan menukar alamat pengantin perempuan ke mana-mana alamat rumah orang lain di sekitar Kuala Kedah.

“Pasangan itu diijabkabulkan tanpa wali. Malah, taraf perkahwinan dalam sijil nikah itu pula ditulis sebagai anak dara walaupun status sebenar pengantin perempuan itu janda.

“Bagaimanapun, penipuan sindiket itu terbongkar apabila perkahwinan pasangan yang menggunakan khidmat sindiket itu tidak kekal lama dan terpaksa bercerai,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, khidmat sindiket itu mendapat sambutan kerana pengantin lelaki tidak perlu bersusah payah melalui prosedur ketat di pejabat agama termasuk mendapatkan kebenaran mahkamah syariah.

Mohamad Shariff berkata, sindiket itu turut mendapat sambutan pasangan dari Johor, Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Pahang.

“Kebanyakan sijil nikah pasangan berkenaan telah pun disiapkan empat hari lebih awal sebelum akad nikah berlangsung. Kebiasaannya, akad nikah itu akan dijalankan di sebuah rumah di sini.

“Kegiatan mereka mula dikesan sejak dua minggu lalu dan sindiket itu dipercayai aktif sejak beberapa tahun dulu lagi. Sebanyak 12 sijil nikah dikesan telah dikeluarkan menerusi sindiket itu,” katanya.

Berikutan itu, beliau meminta pihak berkuasa khususnya Jaik melakukan siasatan terperinci kerana kemungkinan wujud penglibatan orang dalam yang mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan hingga mereka mampu mengeluarkan sijil nikah poligami yang nampak seperti tulen.

No comments:

Post a Comment