Search This Blog

Wednesday, March 5, 2014

Serang anggota polis, 4 warga asing ditahan


Mohd. Shukri Dahlan
KUALA LUMPUR 4 Mac - Empat suspek warga asing ditahan bagi membantu siasatan dalam kes serangan terhadap dua anggota unit polis peronda sehingga mengakibatkan seorang daripadanya terkorban di kawasan perumahan di Taman Sentosa, Klang awal pagi ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, empat suspek terdiri daripada tiga wanita dan seorang lelaki itu ditahan tidak lama selepas kejadian tersebut.
Beliau berkata, pihaknya telah menahan tiga wanita dan seorang lelaki warga asing, dan ketika ini sedang kenal pasti warganegara mereka.
"Kita turut menemui sebilah parang dan pisau rambo di lokasi kejadian dipercayai digunakan suspek-suspek semasa menyerang kedua-dua anggota polis.
"Polis sedang mengesan suspek lain yang dipercayai turut terlibat dalam kejadian itu. Kita akan pastikan kes ini diselesaikan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis serah dan terima tugas Ketua Polis Daerah Gombak dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, mangsa, Koperal Raja Aizam Raja Mohd., 53, maut, manakala rakan setugasnya, Koperal Mohd. Aidil Mustafa, 29, cedera selepas diserang sekumpulan warga asing berkenaan ketika melakukan rondaan.
Mereka meronda di kawasan perumahan itu sebelum terserempak sekumpulan warga asing yang mencurigakan dan berjaya menahan tiga wanita sementara yang lain melarikan diri.
Bagaimanapun, kumpulan tersebut kembali dan tiba-tiba menyerang kedua-dua anggota itu dengan senjata tajam sehingga berlakunya pergelutan sebelum suspek berjaya menikam serta merampas pistol milik Raja Aizam.
Suspek cuba melepaskan tembakan ke arah Mohd. Aidil yang turut tercedera ditetak dengan sebilah parang namun tidak berjaya.
Mohd. Aidil yang menyedari keadaan itu merampas kembali senjata tersebut sebelum melepaskan tembakan ke arah dua suspek yang turut mati di tempat kejadian.
Raja Aizam disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di Hospital Tunku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang manakala rakan setugasnya, Mohd. Aidil kini masih dirawat di unit kecemasan hospital yang sama.
Menurut Mohd. Shukri, pihaknya masih menyiasat motif kejadian kerana pemeriksaan itu dilakukan kerana mereka dilihat mencurigakan.
"Tidak pasti apa tujuan mereka berjalan kaki pada waktu itu sama ada mahu pergi kerja atau sebaliknya. Perkara ini amat mendukacitakan kerana mereka ke sini mencari rezeki namun bertindak sedemikian kepada pasukan keselamatan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140305/je_02/Serang-anggota-polis-4-warga-asing-ditahan#ixzz2v2CxAT89
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment