Search This Blog

Wednesday, March 19, 2014

Seludup dadah 22.74 kg tumpas



Chik Omar Chik Lim (kanan) bersama Zahari Abdullah menunjukkan dadah jenis methamphetamine yang cuba diseludup dalam dua kes berasingan dalam sidang akhbar di KLIA, Sepang, semalam. - utusan/MD. SHAHJEHAN MAAMIN
SEPANG 18 Mac - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya mengagalkan cubaan menyeludup masuk 22.74 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamin bernilai RM4.32 juta dalam dua kes berasingan bulan ini.
Pengarahnya, Datuk Chik Omar Chik Lim berkata, kedua-dua kes itu berjaya dikesan pihaknya melalui imbasan terhadap sebuah bagasi di balai ketibaan dan bungkusan dari Nigeria di dalam gudang kargo KLIA.
Beliau berkata, dalam rampasan kes pertama pada 1 Mac lalu, pihaknya menahan seorang wanita warga China berusia 27 tahun kerana membawa dadah jenis methamphetamin seberat 2.140 kg bernilai RM406,600 yang disorokkan di dalam batang penarik bagasinya.
"Kita mengetahui terdapat dadah disembunyikan dalam besi penarik itu melalui pemeriksaan mesin pengimbas dan dua lagi bungkusan serbuk teh yang turut mengandungi dadah ditemui di sebalik lipatan pakaiannya.
"Hasil siasatan, suspek pertama kali menjejakkan kaki ke negara ini dan kita percaya dia dijadikan keldai dadah oleh sindiket-sindiket tertentu," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Kastam KLIA, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Bahagian Penguatkuasaan KLIA, Zahari Abdullah.
Menurut Chik Omar, bagi kes kedua pada Khamis minggu lalu pula, hasil maklumat yang diperoleh, penyeludupan itu cuba dilakukan melalui penghantaran kargo dengan bungkusan diikrar sebagai barangan makanan.
"Apabila dibuka, bungkusan tersebut mengandungi makanan segera, bijirin dan rambut palsu yang di dalamnya terkandung kira-kira 20.6 kg dadah bernilai RM3.91 juta.
"Kita telah pun siasat alamat syarikat yang didaftarkan sebagai penerima bungkusan itu, namun syarikat itu tidak wujud malah nombor telefon yang terdapat pada Air Way Bil juga gagal untuk dihubungi," ujarnya sambil memberitahu setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat.
Tambah Chik Omar, kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mengulas statistik tiga bulan pertama tahun ini, Chik Omar berkata, penurunan ketara dapat dilihat secara mendadak jika dibandingkan dua tahun sebelum ini.
"Dalam tempoh yang sama pada 2012, terdapat 20 kes dadah berjaya ditumpaskan dengan rampasan seberat 70.51 kg dan nilai rampasan RM14.86 juta, manakala pada 2013 sebanyak 21 kes bersama 98.95 kg dadah bernilai RM14.23 juta dirampas.
"Tahun ini baharu lima kes ditumpaskan dengan rampasan 57.74 kg dadah bernilai RM7.023 juta. Kita akan mengkaji dan siasat sekiranya penurunan ini merupakan cubaan sindiket untuk menggunakan modus operandi atau lokasi lain bagi aktiviti penyeludupan dadah," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140319/je_03/Seludup-dadah-2274-kg-tumpas#ixzz2wMagw2J5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment