Search This Blog

Thursday, March 20, 2014

Sedih rumah musnah sekelip mata

SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA
Sedih rumah musnah sekelip mata
Shorkanadar menceritakan bagaimana dia tersedar dari tidur dan keluar rumah tanpa sempat menyelamatkan barangan berharga. 
20 Mac 2014
SUNGAI PETANI - Keadaan mangsa kebakaran di dua rumah dekat Taman Desa Aman, Sungai Lalang dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan kini mampu menerima kenyataan berhubung insiden yang menyebabkan mereka kehilangan tempat berteduh dalam sekelip mata.

Mangsa, G Shorkanadar, 55, berkata, walaupun dia kini menumpang di rumah saudara tidak jauh dari rumah tetapi setiap saat terkenang kejadian kebakaran yang berlaku pada Sabtu lalu.

Menurutnya, hampir seminggu ditimpa musibah kebakaran, hatinya tetap mahu pulang ke rumah sendiri tetapi selepas melihat rangka rumah yang sudah hangus, hatinya kembali tersentuh.

“Setiap hari saya mahu pulang ke rumah dan tinggal di sini, tetapi bagaimana nak duduk semula sedangkan sisa kebakaran masih belum dibersihkan, hanya tinggal dinding hangus beratapkan alang, bumbung rumah juga hangus terbakar,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, rumah terbabit meninggalkan kenangan bersama mendiang isteri dan sebaik insiden itu menimpa, segala kenangan hilang termasuk barangan milik isteri yang ditinggalkan juga hangus dalam kebakaran.

Anaknya, S Kuganeswaran, 22, berkata, segala peralatan rumah, barangan elektrik, perabot serta barang kemas milik ibunya musnah terbakar.

“Kebakaran memusnahkan keseluruhan bahagian rumah.

“Saya bekerja di Singapura semasa kejadian, bapa tinggal seorang diri. Mujur dia tidak cedera ketika itu, namun kesemua barangan dalam rumah tidak dapat diselamatkan. Kini, bapa terpaksa menumpang di rumah saudara,” katanya.

Selain itu, seorang lagi mangsa, Sarsee Mannar, 54, berkata, kesihatannya beransur baik namun kesedihan tidak dapat ditampung apabila mengenangkan kejadian Sabtu lalu setelah melihat sendiri api yang memusnahkan satu-satunya rumah yang dimiliki.

“Saya menghidap asma dan terpaksa mendapatkan rawatan setiap kali diserang sesak nafas. Pagi tadi (semalam) pun, saya masih mendapatkan rawatan di hospital,” katanya.

Keadaan Sarsee juga dilihat lebih tenang berbanding beberapa hari selepas kejadian yang sering menangis dan mengalami trauma berpanjangan.

Sarsee juga dihantar ke hospital sejurus kejadian kebakaran kerana dilaporkan mengalami sesak nafas akibat terhidu asap selain terkejut dengan insiden terbabit.
Selain kedua-dua rumah terbabit, sebuah rumah bersebelahan yang dihuni Bala Subramaniam, 50, turut terjejas namun hanya beberapa bahagian siling dilaporkan terbakar.
Nasib kesemua mangsa mendapat perhatian Pengurus Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor yang hadir menyampaikan bantuan melalui Dana Econsave Prihatin kepada keluarga terlibat semalam.
Zamzuri berkata, sumbangan berupa tilam, bantal dan keperluan harian itu diharapkan dapat menampung keperluan mangsa yang kehilangan harta benda termasuk rumah yang musnah akibat kebakaran.

No comments:

Post a Comment