Search This Blog

Wednesday, March 26, 2014

Sebutan kes polis didakwa tembak kanak-kanak 22 April


PARIT 25 Mac - Seorang anggota polis hari ini menghantar surat representasi agar Ketua Unit Pendakwaan Perak mengkaji semula pertuduhan yang dihadapinya iaitu dengan sengaja melepaskan tembakan sehingga menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang kanak-kanak, Oktober tahun lalu.
Peguam Luqman Hakim Azhar yang mewakili Sarjan Abdul Rahim Md. Atan, 52, memaklumkan kepada Mahkamah Majistret di sini, pihaknya akan menyerahkan surat tersebut melalui Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd. Radzi yang mengendalikan kes itu.
Sehubungan itu, Majistret Solehah Noratikah Ismail menetapkan sebutan semula kes itu pada 22 April ini untuk mendapatkan keputusan berhubung representasi itu daripada Ketua Unit Pendakwaan Perak.
Abdul Rahim yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping didakwa dengan sengaja melepaskan tembakan sehingga menyebabkan kecederaan parah terhadap Muhammad Ammar Muhamad Azizi, 11.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh kira-kira pukul 4 petang, 14 Oktober tahun lalu di tangga rumah mentuanya di No.66, Kampung Belanja Kiri di sini.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Abdul Rahim juga didakwa atas satu lagi pertuduhan iaitu dengan sengaja melepaskan tembakan tanpa mendapat sebarang kebenaran bertulis daripada Ketua Polis Negeri pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39(a) Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Dalam kejadian pada 14 Oktober tahun lalu iaitu sehari sebelum Hari Raya Aidiladha, Muhammad Ammar cedera parah pada leher akibat terkena peluru sesat yang dilepaskan oleh seorang anggota polis ketika mengosongkan senjata di tangga rumah mentuanya di Kampung Belanja Kiri, Parit.
Murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Iskandar Shah, Parit itu selamat menjalani pembedahan berisiko tinggi mengeluarkan sebutir peluru dari kerongkong di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini enam hari kemudian.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140326/ma_02/Sebutan-kes-polis-didakwa-tembak-kanak-kanak-22-April#ixzz2x1HCUwLL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment