Search This Blog

Wednesday, March 19, 2014

Sebab takut, remaja nekad berkurung dalam kereta

WARTAWAN SINAR HARIAN
Sebab takut, remaja nekad berkurung dalam kereta
Kenderaan mangsa yang terjunam dalam longkang dekat Jalan Bakar Sampah, kelmarin.
18 Mac 2014
 SUNGAI PETANI - Seorang remaja lelaki berusia 20-an yang terbabit dalam kemalangan dekat Jalan Bakar Sampah dekat sini bertindak berkurung dalam kereta sehinggalah dipujuk keluar oleh orang ramai supaya meninggalkan kenderaannya yang terjunam dalam longkang.

Mangsa yang sedang memandu dari arah Jalan Bakar Sampah ke arah Taman Ria Jaya dikatakan gagal mengawal kenderaan menyebabkannya terbabas.

Saksi yang enggan dikenali berkata, mangsa yang tidak mengalami kecederaan enggan keluar dari kenderaan berikutan bimbang dan cemas.

“Kami menyangka dia tersepit dalam kenderaan menyebabkannya terkandas dan tidak dapat keluar, bagaimanapun setelah diperiksa, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan serius,” katanya.

Menurutnya, kejadian dikatakan berlaku lebih kurang jam 10 malam apabila mangsa memandu seorang diri sebelum terbabas dengan sendiri.

Kenderaan yang dipandu mangsa dilihat terjunam ke dalam longkang dan kemek di bahagian hadapan, tetapi pemeriksaan awal mendapati mangsa tidak cedera.

“Kami hairan mengapa mangsa masih berada dalam kereta walaupun tidak cedera, setelah dipujuk akhirnya lelaki berusia lingkungan 20-an itu bertindak keluar.

“Kemungkinan perasaan cemas dan trauma menyebabkan mangsa tidak berganjak dari tempat duduk pemandu walaupun puas dipujuk,” katanya.

Menurutnya, keadaan mangsa juga dilihat berada dalam kebingungan apabila tidak dapat menjawab soalan yang diajukan orang ramai.

Katanya, dalam keadaan ketakutan, mangsa masih sempat berpesan supaya tidak memaklumkan perkara itu kepada ibunya yang berkemungkinan bimbang dimarahi.

Mangsa yang keluar setelah dipujuk, dihantar pulang oleh rakan yang dimaklumkan mengenai kejadian itu.

No comments:

Post a Comment