Search This Blog

Thursday, March 20, 2014

Sanggup sembunyi atas bumbung

MOHD FIRDAUS YON
Sanggup sembunyi atas bumbung
Warga asing ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Johor di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Taman Setia Tropika, di sini untuk siasatan lanjut jabatan. 
20 Mac 2014
JOHOR BAHRU - Seramai 15 warga asing ditahan Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Johor dalam serbuan Ops Sapu di sebuah rumah kedai di Bukit Kempas, kelmarin.

Serbuan jam 1.50 pagi itu dilakukan sepasukan anggota dan pegawai diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Kharulanuar Abu Bakar.

Timbalan Ketua Bahagian Penguat Kuasa Imigresen negeri, Masri Adul berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada 11 lelaki warganegara India, manakala selebihnya merupakan rakyat Pakistan.

“Setibanya di lokasi aduan, Kharulanuar memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan Imigresen dan memaklumkan mahu melakukan pemeriksaan di dalam rumah berkenaan.

“Hasilnya, Imigresen menemui 15 lelaki warga asing dan menahan mereka kerana didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63. Salah seorang daripada mereka ada yang cuba meloloskan diri dengan bersembunyi di atas bumbung bangunan,” katanya, semalam.

Masri berkata, lima warga asing terbabit didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 selain dua daripada jumlah keseluruhan disyaki melakukan kesalahan Seksyen 56(1)(I) Akta yang sama.

“Baki lapan warga asing pula ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua yang ditahan didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa dan memiliki pas atau permit perjalanan palsu,” katanya.

Beliau berkata, warga asing terbabit dibawa ke Pejabat Imigresen Johor di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Taman Setia Tropika, di sini untuk siasatan lanjut jabatan.

“Tiada rampasan dan kejadian tidak diingini berlaku. Ops tamat pada jam 2.15 pagi,” katanya.

No comments:

Post a Comment