Search This Blog

Sunday, March 30, 2014

Restoran kena pecah masuk


WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Mac 2014
Restoran kena pecah masuk
Restoran kena pecah masuk Azrul Izwan melihat rakaman CCTV yang menunjukkan suspek sedang menggeledah premisnya dan melarikan barangan berharga.

Restoran kena pecah masuk
Imej menunjukkan seorang suspek sedang menyelongkar mesin wang.

IPOH – Seorang pemilik restoran kerugian lebih RM5,000 apabila premis makanannya di Jalan Pasir Puteh di sini, dipecah masuk empat pencuri, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, penjenayah terbabit melarikan wang tunai berjumlah RM300 dan beberapa barangan berharga termasuk rokok pelbagai jenis yang diletakkan berhampiran kaunter juruwang restoran tersebut.

Pemilik kedai, Azrul Izwan Ahmad Ali, 27, berkata, dia terkejut apabila mendapati jeriji pintu premisnya dipecahkan dan pelbagai barangan dan rokok berselerak selepas menerima panggilan daripada pekerjanya.

Katanya, ia merupakan kejadian ketiga dialaminya sejak dia memulakan perniagaan di situ 15 tahun lalu.

“Sebaik tiba di kedai untuk memulakan perniagaan, saya mendapati jeriji pintu pecah dan terus memeriksa dalam kedai.

“Saya terkejut lihat rokok berselerak atas lantai dan peralatan kedai serta mesin wang dirosakkan pencuri,” katanya yang membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Pasir Puteh.

Menurutnya, hasil pengamatan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kesemua suspek memasuki kedainya dengan memakai topi keledar dan terus menggeledah kedainya.

“Suspek juga bertindak licik dengan mematikan alat penggera keselamatan dan melarikan televisyen dan beberapa barangan lain,” katanya.

Azrul Izwan berkata, kejadian itu membuatkan golongan peniaga bimbang dengan tahap keselamatan walaupun premis dilengkapi penggera keselamatan dan CCTV.

“Saya berharap pihak polis dapat meningkatkan rondaan dan kawalan keselamatan di kawasan ini bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan siasatan masih diteruskan.

No comments:

Post a Comment