Search This Blog

Wednesday, March 26, 2014

Rempuh rumah elak anjing

WARTAWAN SINAR HARIAN
Rempuh rumah elak anjing
Kereta dinaiki mangsa gagal dikawal sebelum merempuh tembok pagar sebuah rumah teres tidak berpenghuni.
26 Mac 2014
 BANDAR SRI SENDAYAN - Sepasang suami isteri nyaris maut apabila kenderaan dinaiki terbabas dan melanggar tembok pagar sebuah rumah teres lot penjuru tidak berpenghuni di Taman Nusari Aman 2, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa, Muhammad Harris Ridzwan Abdullah, 35, bersama isterinya, Norsalasiah Zulkefly, 37, sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Nusari Bayu 1, di sini, menaiki kereta jenis Proton Wira.

Menceritakan semula detik-detik cemas dialami, Muhammad Harris berkata, semasa insiden terbabit, mereka berdua baru balik dari menjamu selera di salah sebuah kedai makan di Garden Homes, Seremban 2.

“Sebelum sampai ke rumah, kami bercadang singgah sebentar di kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam di Medan Nusari. Kami memilih mengikut jalan pintas menerusi Taman Nusari Aman 2 memandangkan jaraknya lebih dekat, selain berada dalam laluan pulang.

“Malangnya, sekumpulan anjing liar melintas secara tiba-tiba semasa kami sedang membelok masuk ke simpang taman berkenaan. Akibatnya, kereta kami hilang kawalan sehingga terbabas kerana cuba mengelak daripada melanggar haiwan terbabit,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurutnya, kejadian berlaku sekelip mata. Sedar-sedar sahaja, kereta dipandu sudah menaiki bahu jalan dan merempuh tembok pagar salah sebuah rumah teres di taman perumahan tersebut.

“Walaupun terkejut dan sedih dengan insiden itu, kami tetap bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan, selain berjaya mengelak daripada meragut nyawa haiwan berkenaan.

“Rumah yang kami langgar pula memang tidak berpenghuni sejak sekian lama berikutan dijadikan sebagai kediaman contoh kepada pembeli,” katanya yang menjelaskan, lebih kurang empat hingga lima ekor anjing terlibat semasa kemalangan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Nusari Aman 2, Terence Beh, 40, berkata, dia dimaklumkan mengenai kemalangan itu oleh salah seorang penduduk, kira-kira jam 4 pagi.

“Saya bergegas ke tempat kejadian untuk melihat keadaan mangsa dan memberikan bantuan kepada mereka. Saya harap, pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat mengambil tindakan bagi menangani masalah anjing liar di kawasan ini, supaya kejadian sama tidak menimpa orang lain,” katanya.

No comments:

Post a Comment