Search This Blog

Wednesday, March 19, 2014

Rayuan bekas peguam batal keputusan Lembaga Disiplin ditolak


KUALA LUMPUR 18 Mac - Bekas peguam, Datuk Mokhtar Ngah hari ini gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) untuk mengetepikan keputusan Lembaga Disiplin Majlis Peguam yang membatalkan namanya daripada senarai peguam bela dan peguam cara.
Hakim Datuk Zaleha Yusof memutuskan demikian dengan alasan Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk membuat aduan mengenai seseorang peguam kepada lembaga berkenaan.
Katanya, walaupun Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu telah menolak tuntutan saman Yang Dipertua MDHT terhadap Mokhtar atas dakwaan kecuaian, bekas peguam itu tetap bertanggungjawab jika ada aduan berhubung soal etika guaman.
"Saya mendapati tiada alasan untuk campur tangan dalam keputusan Lembaga Disiplin," kata Hakim Zaleha yang turut memerintahkan Mokhtar, 61, membayar kos RM15,000 kepada Yang Dipertua MDHT.
Beliau turut menolak permohonan Mokhtar untuk menangguhkan keputusan Lembaga Disiplin Majlis Peguam dan juga pelaksanaan keputusan mahkamah hari ini.
Peguam Shaharudin Ali yang mewakili Mokhtar memberitahu pemberita selepas prosiding tersebut, beliau telah diarahkan oleh anak guamnya untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.
Yang Dipertua MDHT selaku responden diwakili oleh peguam-peguam, R. Vasanthi dan Shara Isaacs Stanley Isaacs manakala peguam Kwan Will Sen hadir bagi pihak Majlis Peguam.
Mokhtar memfailkan saman pemula pada 11 Mac 2013 untuk mengetepikan keputusan Lembaga Disiplin tersebut bertarikh 14 Februari 2013 yang memerintahkan nama beliau dibatalkan daripada senarai peguam bela dan peguam negara Mahkamah Tinggi.
Beliau yang telah berkhidmat selama 22 tahun dalam bidang guaman juga memohon agar keputusan berhubung pembatalan namanya itu digantung sehingga rayuan selesai.
Mokhtar mengemukakan saman itu dengan alasan perintah pembatalan namanya itu adalah salah, terbatal dan tidak mempunyai sebarang kesan kerana didakwa dibuat atas aduan yang tidak sah.
Lembaga Disiplin memutuskan untuk membatalkan nama Mokhtar daripada senarai peguam bela dan peguam cara selepas didapati melakukan salah laku dalam amalan guaman berikutan aduan daripada pihak responden.
Responden memfailkan aduan kepada Lembaga Disiplin setelah tidak berpuas hati dengan tindak tanduk Mokhtar ketika mewakili MHDT dalam satu kes taksiran penilaian hartanah terhadap Tenaga Nasional Bhd. (TNB).
MHDT turut memfailkan saman terhadap Mokhtar pada 2001 tetapi Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menolak tuntutan saman itu pada 31 Januari 2011.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140319/ma_02/Rayuan-bekas-peguam-batal-keputusan-Lembaga-Disiplin-ditolak#ixzz2wMYJytb1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment